PETALING JAYA : Susulan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu perlawanan Liga Malaysia 2022 (Liga-M) di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang terkena jangkitan Covid-19, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menguatkuasakan lima protokol Covid-19 bagi memastikan kelancaran saingan Liga-M.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, sekiranya pegawai atau pemain kelab disahkan positif Covid-19, kelab mempunyai dua pilihan iaitu diberi pengecualian sementara untuk menggantikan dengan pegawai – pegawai dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia bagi mengisi kekosongan tersebut.
Kataya, bagi pemain kelab dibenarkan untuk mendaftarkan pemain-pemain dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam Senarai Pilihan Skuad Utama bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Namun jika kelab tidak dapat menurunkan pegawai dan pemain seperti perkara kerana tidak mempunyai pasukan Piala Presiden atau Piala Belia atau pertindihan jadual perlawanan pertandingan, kelab dibenarkan menurunkan sekurang-kurangnya tiga Pegawai iaitu, Penolong Ketua Jurulatih atau Penolong Jurulatih, Doktor Pasukan dan Fisioterapi.
“Pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 14 pemain (3 pemain simpanan) pada hari perlawanan. Namun sekiranya kelab gagal mendaftar jumlah 14 pemain tersebut sebelum perlawanan, maka Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan sama ada kelab tersebut boleh meneruskan perlawanan atau dikira kalah,” ujarnya.
Protokol kedua pula, Stuart memaklumkan sekiranya kelab gagal mematuhi perkara (2) dan menyebabkan perlawanan tidak dapat dimainkan tanpa alasan munasabah, maka MFL akan merujuk perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL dan tindakan.
“Kelab akan dikira kalah 0-3 dan 3 mata diberikan kepada pasukan lawan, menanggung kos-kos logistik pasukan lawan serta kos-kos pengelolaan perlawanan serta penyiaran dan kos-kos tiket pengangkutan (penerbangan/bas), perbatuan, tol, penginapan, makanan bagi pegawai-pegawai perlawanan seperti pengadil, penilai pengadil serta komisioner perlawanan,” katanya.
Ujarnya lagi,protokol ketiga pula membabitkan langkah penundaan perlawanan akan hanya dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain di dalam tempoh kalendar FIFA sahaja tanpa pemain yang berkemungkinan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
“Bagi kelab yang gagal menghabiskan baki saingan perlawanan liga atau gagal bermain di perlawanan terakhir liga maka perkara ini akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk keputusan yang akan menjejaskan jumlah pengagihan dana kepada semua kelab-kelab akibat kekurangan perlawanan berbanding dengan jumlah perlawanan dalam perjanjian antara MFL, penaja dan penyiar.
“Protokol terakhir adalah menjurus tujuan keselamatan dan kesihatan dimana kelab hendaklah memastikan pegawai dan pemain sentiasa mengamalkan protokol kesihatan kendiri,” katanya.