IPOH: Program Solidariti RM1 anjuran Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) bagi mengutip kutipan RM1.7 juta untuk membantu pasukan Perak FC sudah mengumpulkan RM11, 000.
Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim memberitahu, jumlah itu adalah hasil terkumpul sejak pelancaran program Sabtu lalu.
“Saya gembira dengan sambutan diberikan kepada program ini. Terima kasih kepada semua penderma.
“Saya optimis jika setiap rakyat Perak menderma RM1 seorang, jumlah terbabit mampu dicapai,” katanya.
Menurutnya, keadaan amat terdesak dan hanya beberapa hari sahaja lagi bolasepak Malaysia bakal kehilangan satu lagi pasukan penuh tradisi, penuh sejarah dalam saingan Liga Malaysia.
“Jika pasukan gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum atau pada 21 April ini maka First Instance Body (FIB) akan memutuskan tindakan seterusnya iaitu lesen ditarik balik dan disingkirkan daripada Liga Malaysia,” katanya.
Beliau turut merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak agar menghulurkan bantuan kewangan RM1 seorang untuk merealisasikan harapan penyokong bola sepak Perak.
Katanya, ini kerana sehingga hari ini masih belum ada sebarang kepastian kemelut pengambilalihan kelab, kami terpanggil untuk selamatkan kelab kesayangan kami.
“Apa yang lebih penting memastikan survival Perak FC dalam saingan Liga-M.
“Bola sepak Perak memerlukan bantuan rakyat Perak. Inilah masanya kita sama-sama menghulurkan bantuan kepada pemain dan pasukan,”katanya
Menurutnya, adalah sesuatu yang amat malang bagi pasukan Perak FC yang menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun lepas, diturunkan takhta liga dan kini berdepan pula penyingkiran dari Liga Malaysia.
Katanya, jika tersingkir dari saingan Liga Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat malang kerana akan memberi kesan kepada perkembangan bola sepak di negeri Perak sendiri.
“Kami rayu agar seluruh rakyat Perak menjayakan usaha ini sebelum terlambat, dan kita seru kepada kerajaan negeri untuk bantu pasukan buat kali terakhir,” katanya lagi.
Kempen ‘Solidariti RM1 Seminggu’ telah dilancarkan ketika krisis kewangan Perak FC apabila dikhabarkan pemain dan pegawai pasukan tidak dibayar gaji mereka selama dua hingga tujuh bulan.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi beliau di talian 0103938167.