PETALING JAYA : Selangor FC melonjak ke tangga kelima Liga Super selepas meraih tiga mata penuh menewaskan Sri Pahang, 3-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ), sebentar tadi.
Satu gol masing-masing dijaringan menerusi pemain import Caion, Hyuri Henrique dan Yazan Al-Arab memastikan Red Giants meraih lapan mata memaksa Kuala Lumpur City turun satu anak tangga untuk kedudukan keenam.
Pada aksi yang berlangsung sebentar tadi, pelawat dilihat lebih banyak mengancam tuan rumah menerusi gerakan dijelmakan Nor Azam Azih dan Manuel Hidalgo.
Hidalgo hampir mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-25 namun ketangkasan Khairulazhan Khalid memastikan gawangnya tidak dibocori pelawat.
Tersentak dengan percubaan tersebut, tuan rumah bangkit dengan gerakan merbahaya menerusi percubaan Fazly Mazlan namun dinafikan penjaga gol import Sri Pahang, Mamadou Samassa.
Usaha berterusan Selangor memburu gol akhirnya menjelma menerusi tandukan Caion pada minit ke-37 untuk meletakkan pasukan dihadapan sebelum kedua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, tuan rumah terus menggandakan kelebihan jaringan menerusi Hyuri Henrique selang tujuh minit kemudian untuk kedudukan 2-0.
Pemain kebangsaan , Nor Azam Azih berjaya merapatkan kedudukan selepas bijak menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-62 untuk menewaskan Khairulazhan.
Kegembiraan penyokong pelawat meraikan gol bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan tuan rumah, Yazan Al-Arab menanduk masuk bola dari sepakan penjuru untuk gol ketiga pada minit ke 73.
Walaupun Tok Gajah cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa gerakan namun keputusan 3-1 itu kekal sehinggalah tamat perlawanan.
Kemenangan ini memastikan Gergasi Merah Kuning mengutip lapan mata hasil dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan manakala Sri Pahang pula kekal ditangga kesembilan selepas hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan untuk mengumpul empat mata.