JERANTUT: Seperti mimpi. Itulah yang digambarkan oleh Kamarulzaman Mohd. Fauzi@Jazuli, 50, rakyat Malaysia yang separuh koma di Korea Selatan, Januari lalu, apabila dapat pulang ke tanah air dalam keadaan selamat dan menjalani ibadah puasa bersama keluarga.
Kamarulzaman pulang ke tanah air pada 2 Mac lalu hasil usaha kerajaan negeri serta sumbangan pelbagai pihak dan rakan senegara di Korea Selatan.
Meskipun masih belum pulih sepenuhnya, dia ketika ini sudah boleh berpuasa dan Ramadan tahun ini lebih bermakna buat dirinya kerana berada di sisi keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamarulzaman berkata, dia seakan-akan bermimpi kerana dapat bersama keluarganya di bulan Ramadan ini.
“Walaupun pulang dalam keadaan begini, namun saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberi peluang berjumpa dengan keluarga.
“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan semua yang telah membantu urusan membawa saya pulang ke tanah air dan menyelesaikan bil hospital sepanjang dirawat di Korea Selatan,” katanya di sini semalam.
Keadaan Kamarulzaman beransur baik dan sedang menjalani fisioterapi serta masih menggunakan kerusi roda.
Apabila ditanya sama ada masih mahu merantau ke Korea Selatan, dia menggelengkan kepala dan memberitahu pengalaman selama lebih dua tahun di sana sudah cukup membuatnya merasa serik.
“Pergi ke sana, hendak makan pun susah. Bulan puasa tidak semeriah seperti di Malaysia. Di sini, saya dapat menikmati juadah berbuka kegemaran saya iaitu nasi kerabu dan gulai patin tempoyak,” katanya.
Kamarulzaman dalam masa sama turut menasihatkan rakyat Malaysia yang mahu merantau mencari rezeki di luar negara supaya berfikir berulang kali.
“Walaupun bayaran mahal kerana mata wang mereka lebih tinggi, namun kerjanya terlalu sukar selain berisiko ditipu pihak broker yang mencarikan kerja untuk kita. Lebih baik cari kerja di Malaysia,” katanya.
Isteri Kamarulzaman, Wan Hayati Wan Yaakub, 53, berkata, dia tekad selepas ini sudah tidak mahu lagi membenarkan suaminya merantau ke luar negara.
“Cukuplah pengalaman lalu mengajar kami betapa sukarnya jika berlaku apa-apa kepada dia. Kini kami sekeluarga gembira kerana setelah dua tahun, keluarga kami lengkap dan dapat menyambut puasa dan raya bersama,” katanya. – UTUSAN










