IPOH: Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak TBG Mobs mahu mengutip tanda tangan penyokong Perak untuk dihantar ke pejabat istana.
Justeru kelab itu menyeru peminat dan penyokong agar hadir beramai-ramai di Stadium Perak sempena perlawanan Liga Perdana dengan Kelantan United, malam ini.
Setiausaha TBG Mobs, Mohd Hakimi Abdul Halim berkata pihaknya ingin mendapat kan tandatangan penyokong untuk diserahkan kepada Sultan Nazrin Shah.
Tindakan penyokong Perak itu bertujuan menarik perhatian Sultan Perak tentang nasib yang menimpa Bola sepak Perak sekarang ini.
Menurut Helmi penyokong Perak hairan kerana Impact Media & Communication seperti sengaja melengah-lengahkan penjualan Perak FC.
“Penyokong tahu ada pihak berminat hendak membeli Perak FC tetapi proses itu dilengah-lengahkan. Entah apa yang mahu mereka lakukan. Nak biar Perak berkubur agaknya.
“Penyokong memang kecewa dengan sikap IMC,” kata Hakimi.
Dalam pada itu beliau berharap kempen solidariti yang dilancarkan dapat diteruskan oleh penyokong.
“Kita berjaya mengumpul hampir RM 50,000 setakat ini. Mungkin boleh dapat beberapa ribu lagi,” katanya.