LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan Reds akan memberi tentangan habis-habisan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Liverpool hanya ketinggalan satu mata kepada pendahulu, Manchester City dengan lapan perlawanan masih berbaki sebelum musim ini berakhir.
Red berjaya melakar kemenangan 2-0 menewaskan Watford 2-0, kelmarin di Anfield menerusi ledakan Diogo Jota dan Fabinho sekali gus memulakan kempen penting untuk Liverpool yang kekal dalam pemburuan empat trofi.
Selepas ini Liverpool akan bertemu City minggu depan di tempat lawan selain mengharungi dua aksi suku akhir Liga Juara-Juara bertemu Benfica dan aksi separuh akhir Piala FA bertemu City.
“Liga Perdana adalah pertandingan paling penting. Minggu ini akan menentukan banyak perkara pada Mei nanti.
“Saya tidak pernah terfikir selepas tempoh rehat antarabangsa, saya dapat melihat aksi terbaik musim ini dan kami mempamerkan kematangan dan menguasai perlawanan,” kata kata Klopp yang menyaksikan pasukannya menjulang Piala Liga, Februari lalu.
Klopp merehatkan Luis Diaz dan Sadio Mane di bangku simpanan selepas tugasan antarabangsa bersama Trent Alexander-Arnold yang baharu pulih daripada kecederaan.
Sementara itu, Chelsea dibelasah Brentford 4-1 di Stamford Bridge sekali gus menjadi kemenangan pertama
mereka ketika menentang skuad The Blues itu sejak 1939.
Chelsea yang berada di tangga ketiga kekal di landasan untuk menempah slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pengendali Brentford, Thomas Frank memuji impak dibuat Christian Eriksen selepas kembali ke Liga Perdana apabila pemain Denmark itu turut mencetak nama sebagai penjaring.
“Semua pasukan ada 11 pemain tetapi kadangkala anda perlu pemain utama untuk menaikkan semangat dan personaliti mereka, dan Christian melakukannya. Dia pemain yang sangat bagus dan saya gembira dia bermain buat kami,” ujarnya. – AGENSI