Tidak ramai orang Melayu mengusahakan kedai peralatan muzik. Kata orang, boleh dihitung dengan jari. Barangkali yang meminati muzik juga tidak ramai menjadikan bilangan kedai itu juga tidak serancak pembukaan kedai makan.
Namun kedai peralatan muzik Brado Guitars, yang kekal bertahan untuk sedekad tahun ini, menepis pandangan kedai peralatan muzik tidak punyai masa depan, lebih-lebih lagi yang diusahakan orang Melayu.
Pemilik Brado Guitars, Mohd. Tasdiqi Mohamad, 33, berkata, dia membuka kedai muzik kerana minat dan dengan niat asal mahu membantu pelajarnya mendapat ilmu berhubung alat muzik bertali itu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Tas melakar kerjaya sebagai cikgu gitar dan tutor gitar di sebuah kedai menjual peralatan gitar di ibu kota sebelum beralih arah menjadi usahawan.
Pandemik turut menjejaskan operasi Brado Guitars. Namun kata Tas, itu bukanlah halangan.
“Secara kasarnya, semua peniaga melalui fasa ini akibat pendemik Covid-19 yang melanda dunia. Lebih-lebih lagi produk yang saya niagakan ini adalah produk berasaskan minat dan hobi,” katanya berterus terang. Ikuti temubual saya dengan usahawan muda ini.
Bila mula melibatkan diri dalam perniagaan gitar ni?
Saya mula menceburi perniagaan ini dengan membuka sekolah belajar gitar di Puchong, Selangor sekitar 2011. Waktu itu ada segelintir pelajar saya tidak mempunyai gitar. Malah tidak tahu memilih gitar sesuai dengan mereka. Situasi pelajar itulah yang mendorong saya menjual sendiri gitar-gitar terus kepada pelajar.
Saya menjual hanya empat biji gitar jenama Schecter pada peringkat awalnya. Jualan atas talian seperti facebook rupa-rupanya laris. Saya berjaya menjual 20 unit jenama ini dalam masa sebulan. Larisnya jualan itu menyebabkan tercetus idea untuk saya buka kedai Brado Guitars.
Boleh ceritakan bagaimana bermulanya Brado Guitars ini?
10 tahun lepas saya rajin berkunjung ke kedai makan di SS15 Subang Jaya bersama rakan-rakan. Saya terjumpa notis lot kedai untuk disewa di kawasan itu. Saya terus menghubungi pemilik lot kedai dan terus meletakkan pendahuluan sewa sebulan. Ketika itu sewa kedai sebanyak RM2,850.
Pemilik lot ini sangat baik hati. Sepanjang tempoh saya menyewa, hanya tiga kali sahaja sewa dinaikkan. Itu pun sekali naik dalam RM50. Kini selepas 10 tahun, sewanya baru RM3,000 sebulan.

Pernah mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak?
Saya mula beroperasi secara penuh di sini ialah pada tahun 2014. Setakat ini, memang saya belum pernah memohon atau mendapat mana-mana bantuan kewangan pun. Alhamdulillah, saya bermula dengan stok minimum yang dibenarkan oleh pengedar rasmi. Saya menjual semua unit dahulu untuk membuat penempahan stok yang baharu. Sekiranya ada model-model gitar yang diingini pelanggan, dan ianya bukan daripada stok yang sedia ada, saya meminta pelanggan membayar dahulu kos penuh, baru saya membuat pesanan.
Bagaimana suasana perniagaan ketika kita melalui proses Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu?
Perniagaan saya menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak mula membuka kedai. Dalam situasi perniagaan lain terkesan akibat PKP, Brado Guitars sebaliknya. Waktu PKP 2.0 jualan gitar kami secara atas talian meningkat secara mendadak. Mungkin sebab waktu PKP ramai orang duduk di rumah. Menghilangkan kebosanan mereka bermain muzik.
Namun pada PKP 3.0 saya dapati permintaan gitar sedikit berkurang. Mungkin kerana orang ramai berjaga-jaga dan berjimat cermat dalam berbelanja. Dan kini saya dapati jualan kian suram.
Bagaimanakah Brado Guitars melalui waktu ini sebagai seorang ahli perniagaan yang sudah tentu mempunyai komitmen sewa dan gaji pekerja?
Dari segi sewa, saya berjaya meyakinkan pemilik lot untuk membayar secara ansuran. Namun bila selera pelanggan lebih ke arah bercuti selepas berkurung lama dalam rumah, pendapatan kami kian terjejas. Orang ramai sudah kurang membeli barangan untuk kegunaan hobi seperti gitar. Situasi ini menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan drastik, memotong gaji pokok pekerja-pekerja yang ada walaupun berusaha untuk tidak melakukannya sejak bermula PKP.
Saya sebaliknya menggunakan konsep komisen jualan kepada pekerja. Ertinya ia membolehkan pekerja saya menjual dengan lebih gigih untuk mendapatkan pulangan pendapatan yang lebih banyak bersesuaian dengan jualan yang mereka lakukan. Alhamdulillah, pekerja tetap saya masih bersama saya sehingga hari ini dan sangat memahami keadaan perniagaan saya.
Hanya dalam hujung 2021 baharu ada sedikit peningkatan penjualan. Tetapi seperti kebanyakan peniaga lain, kami menggunakan pendapatan untuk menampung hutang yang tercipta ketika dua PKP sebelum ini.

Bagaimana bersaing dalam industri? Tidakkah pembekal alatan muzik juga adalah pesaing?
Betul, pembekal kami juga adalah pesaing. Fakta ini tidak dapat kami ketepikan. Seperti kebanyakan perniagaan gitar yang lain, kita harus mencari ‘kelebihan’ untuk menarik lebih ramai pelanggan. Sebagai contoh, kami gunakan media sosial seperti Youtube untuk menjual produk. Kami turut menggunakan kemudahan yang ada dengan lebih menarik pelanggan dan menyebarkan ‘imej’ Brado Guitars ini.
Kami turut mengembangkan aspek kepelbagaian produk dengan mula memasarkan barangan audio. Idea ini kami dapati apabila melihatkan ramai pemuzik berkarya di rumah. Teknologi digital kini membenarkan sesiapa saja membawa balik teknologi ke rumah. Maka ini antara ruang yang kami nampak boleh membawa perniagaan kami ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebagai tambahan, kami turut menjadi pengedar kepada jenama tempatan, seperti pembuat gitar dan pembuat alatan seperti pedal efek gitar. Menariknya, hari ini saya rasa terdapat peningkatan pada sentimen barangan tempatan dalam kelompok pemain gitar tempatan. Kami beruntung dapat bekerjasama dengan satu jenama yang sedang meningkat naik. Saya berharap jalinan ini dapat menukarkan sandaran kita pada jenama import.
Keadaan ekonomi negara sekarang sedang dalam proses pemulihan. Adakah ini akan secara langsung akan turut sama memulihkan ekonomi Brado Guitars?
Ya, namun ia mungkin akan mengambil masa. Ini adalah kerana, perniagaan kami, secara kasarnya adalah sebuah perniagaan berteraskan hobi, bukannya perniagaan ruji. Dalam proses pemulihan ini, ramai yang baru mula bekerja kembali, sama ada dengan majikan baharu atau majikan lama dengan kadar gaji yang sedikit berkurangan. Maka, mungkin untuk sektor perniagaan seperti kami, akan mengambil sedikit masa untuk kembali cemerlang seperti dulu. Saya kira kami perlu kreatif untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan lama.
Apakah perancangan Brado Guitars pada masa akan datang?
Selain daripada fokus ke arah barangan-barangan audio, kami turut mula membabitkan diri dalam pengurusan acara persembahan di ‘gig’ atau pementasan muzik. Kami memiliki pengalaman dalam melihatkan diri dalam pementasan. Ini secara tidak langsung boleh mengukuhkan lagi penjenamaan kami dalam industri. Walaupun pemuzik tersebut sudah mula tidak aktif, tetapi mereka inilah juga yang menjadi pelanggan setia kami.
Saya dapati bila sebuah indie band diangkat menjadi juara Anugerah Juara Lagu, ia membangkitkan lebih banyak kugiran baharu yang ingin menghasilkan karya sendiri. Lebih banyak home studio dapat kami bangunkan.










