PETALING JAYA: Insiden beberapa kali kesilapan dilakukan pengadil perlawanan terus mencuri tumpuan dalam saingan Liga Malaysia.
Meskipun hukuman telah dijatuhkan namun perkara itu langsung tidak mengerunkan pengadil lain yang terus mencipta kontroversi.
Rentetan kesilapan pengadil perlawanan bermula apabila Mohd Hasrol Mohd Amir yang membatalkan dua gol dijaringkan pemain Sri Pahang menerusi David Rowley dan Johan Martial pada aksi menentang Kedah, 6 April lalu.
Tidak terhenti disitu sahaja, isu pengadilan lemah terus merosakkan perlawanan selepas keputusan pengadil, Muhammad Usaid Jamal mengesahkan gol Petaling Jaya City (PJ City) ketika menentang Sri Pahang selang tiga hari kemudian.
Kesilapan keputusan Mohd Hasrol dan Muhammad Usaid ini sendiri diakui Jawatankuasa Pengadil FAM yang akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut.
Namun ibarat drama bersiri, kesilapan keputusan pengadil terus disajikan dan terbaharu dengan tindakan ‘pelik’ Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman yang melayang kad merah kepada pemain Perak FC, Royizzat Daud.
Insiden layangan kad merah bermula apabila pemain Perak , Idris Ahmad dilihat melakukan terjahan kasar terhadap pemain Kelantan FC, Danial Hadri Effendi Jagan pada minit ke-40 dalam kotak penalti.
Selepas melayangkan kad merah kepada Danial, Izzul Fikri tidak menunggu lama untuk melakukan perkara yang sama kepada Royizzat menyebabkan pemain tuan rumah tidak berpuas hati.
Bagi pemerhati bola sepak tanah air, Dr Pekan Ramli, senario kesilapan pengadil bukanlah kali pertama dan ia memperlihatkan kelemahan mutu pengadilan.
“Kalau sekali bolehlah kita katakan kesilapan tetapi dah kerap sangat berlaku, banyak kelemahan ketara dari segi mutu pengadilan,Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertindak segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Pekan lagi, tiga pembantu pengadil serta komisioner perlawanan juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan sebarang keputusan tidak dipertikaikan.
“Dalam situasi yang berlaku (Perak lwn Kelantan), saya lihat seharusnya pembantu pengadil dan Komisioner perlawanan boleh menasihat dan memberi pandangan kepada pengadil.
“Banyak perlawanan di luar negara, apabila berada dalam situasi seumpama ini peranan pembantu pengadil diberikan perhatian,” jelasnya.