ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora enggan menyalahkan mana-mana pemainnya setelah ‘diganyang’ 0-5 oleh kelab No.1 Asia, Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Mora percaya skuad Harimau Selatan yang tempang tanpa kehadiran beberapa tonggak utama sudah melakukan tugas dengan baik, namun gagal mengekang kemaraan juara Liga 1 Jepun itu yang rakus melakukan serangan.
Dalam masa sama, Mora turut berbangga dengan pemain yang tidak pernah diturunkan dalam aksi ACL sebelum ini seperti Aidil Zafuan Abd. Radzak, Bienvenido Maranon dan Nathaniel Hong Wan setelah mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika berdepan kelab gergasi Asia itu.
“Saya tidak rasa kecewa dengan pasukan ini kerana mereka sudah melakukan segalanya. Ada pemain yang diturunkan tidak mempunyai minit permainan dalam Liga Super dan juga ACL, jadi agak sukar untuk memberikan yang terbaik pada perlawanan sukar seperti ini.
“Walaupun kita bolos gol awal, JDT tetap berjaya elak gawang bolos lebih banyak lagi dan pertahan kedudukan 3-0 untuk tempoh yang lama sehinggalah kita bolos dua gol pada 10 minit terakhir ketika pemain sudah keletihan.
“Perlu ingat, kita berdepan dengan pasukan terbaik di rantau Asia, ia bukan tugas mudah buat pasukan kedua ini. Apapun kita perlu melupakan kekalahan ini dan memberi fokus terhadap pertemuan menentang Guangzhou FC selepas ini,” katanya pada sidang akhbar.
Kekalahan 0-5 di tangan Kawasaki Frontale itu menyaksikan JDT jatuh ke tangga kedua peringkat kumpulan I dengan mengutip tujuh mata daripada empat perlawanan, satu mata di belakang kelab Jepun itu.
Walaupun keadaan sudah berubah, pengendali kelahiran Mexico itu tetap optimis bahawa JDT masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya dengan berbaki dua perlawanan menentang Guangzhou dan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
“Buat masa ini, kita perlukan melupakan keputusan perlawanan ini dan cuba untuk bangkit dengan lebih baik bagi menewaskan Guangzhou dan membuat perhitungan dengan Ulsan Hyundai yang menjadi perlawanan penting sekiranya ingat menghidupkan peluang sebagai pasukan kedua terbaik untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Saya tidak kesal merehatkan pemain utama ketika berdepan Kawasaki Frontale bagi mengelak risiko kecederaan setelah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh yang pendek. Fokus kita adalah untuk menang baki dua perlawanan ini dan menamatkan saingan ACL dengan penuh rasa bangga,” ujarnya.