IPOH: Kerajaan Perak akan mengadakan perbincangan dan sesi advokasi dengan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan bagi melihat cadangan meningkatkan had umur perkahwinan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, perbincangan akan diadakan melalui Wanita Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menurutnya, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kehakiman, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga akan turut serta dalam perbincangan tersebut.
“Perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.
“Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak yang berkepentingan sama ada pemimpin tertinggi hingga ke akar umbi untuk lebih prihatin dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur di negeri ini demi menjamin masa hadapan kanak-kanak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming membangkitkan isu perkahwinan perkahwinan bawah umur.
Wan Norashikin berkata, di bawah Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi wanita kecuali permohonan perkahwinan mendapat kebenaran daripada Hakim Syarie secara bertulis dalam hal dan keadaan tertentu.
Beliau berkata, perkahwinan bagi orang bukan Islam tertakluk di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
“Bagi mendaftarkan perkahwinan, permohonan perempuan mesti genap 16 tahun, jika kurang dari 18 tahun perlu mendapat kelulusan di bawah Seksyen 21(2) oleh Menteri Besar Perak yang telah diturun kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri.
“Permohonan lelaki pula, mesti genap 18 tahun, jika belum mencapai 21 tahun perlu mendapat persetujuan bertulis dari ibu atau bapa,” katanya.
Beliau berkata, terdapat enam faktor perkahwinan bawah umur yang dikenalpasti antaranya pendapatan yang rendah dan kemiskinan, kekurangan pendidikan kesihatan reproduktif seksual serta kekurangan dan ketiadaan kemahiran keibubapaan.
“Selain itu, kekurangan atau ketiadaan akses kepada pendidikan, stigma masyarakat dan undang-undang yang masih membenarkan perkahwinan bawah umur juga merupakan punca perkahwinan bawah umur,” katanya. – UTUSAN ONLINE