NIBONG TEBAL: Seorang penyokong tegar skuad Harimau Malaya dan Penang FC, Mohd. Firdaus Ariffen berdepan ujian hebat apabila disahkan mengalami masalah jantung membengkak sehingga tidak berupaya bangkit dan berjalan hampir setahun lalu.
Lebih memilukan apabila Mohd. Firdaus, 37, kini hanya mampu terbaring dan mengharapkan bantuan daripada ibunya, Chek Embon Md. Rashid, 55, bersama tiga adiknya termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Nur Ain, 36, untuk meneruskan kehidupan seharian.
Menurut Mohd. Firdaus, dia reda dengan ujian yang dihadapinya itu selain pasrah apabila tidak mampu menyempurnakan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam membantu meringankan kos sara hidup keluarganya.
“Doktor mengesahkan jantung saya mula membengkak dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan. Keadaan perut dan kaki juga kini bengkak serta mengeluarkan air bisa.
“Saya kini hanya berbelanja dengan wang sumbangan rakan penyokong bola sepak termasuk menerima lampin pakai buang daripada mereka. Saya juga menerima bantuan kerusi roda dan katil daripada wakil rakyat,” ujarnya sebak.
Sementara itu, Chek Embon yang bekerja sebagai tukang cuci di Pasar Kemboja, Parit Buntar, Perak pula berkata, mereka kini menunggu proses permohonan bantuan sara hidup untuk Mohd. Firdaus daripada Pusat Zakat Pulau Pinang mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 012-930 2836 (WhatsApp) atau 017-343 6673 (Chek Embon).-UTUSAN