NS Antlers tutup kempen STL di tangga ketiga Piala Juara-Juara - Utusan Malaysia

NS Antlers tutup kempen STL di tangga ketiga Piala Juara-Juara

PEMAIN NS Antlers meraikan kejayaan mengalahkan Melaka Titans untuk menduduki tangga ketiga Piala Juara-Juara STL di Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Negeri Sembilan (NS)  Antlers menamatkan saingan Piala Juara-Juara STL di tangga ketiga selepas mudah menundukkan Melaka Titans 2-0 21-10, 21-15 di Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.

Antlers yang menurunkan Hisham Mat (tekong), Norhaffizi Abd Razak (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) cemerlang sejak awal  apabila mendahului 5-3.

Persembahan Melaka Titans dilihat serba tidak menjadi serta servis Sahidan Md. Ali yang gagal melepasi jaring menjadikan mereka jauh ketinggalan 3-12.

Ketua jurulatih Melaka Titans mengambil keputusan mengeluarkan Sahidan dan membawa masuk Farid Abd. Aziz, namun juara Divisyen 1 itu gagal menghalang kemaraan Negeri Sembilan yang terus menjarakkan kedudukan 16-4.

Norhaffizi Abd Razak memastikan kemenangan buat Negeri Sembilan Antlers menerusi rejamannya yang menuai mata buat pasukan untuk menang 21-10.

Pada set kedua, Melaka Titans beraksi dengan lebih baik berbanding set pertama apabila perejam import dari Thailand, Rusdee Leerem meletakkan pasukan di kedudukan 6-3.

Rusdee yang dibawa masuk menggantikan Fadzil Baharudin terus menambah mata buat Melaka Titans menerusi variasi rejaman untuk terus berada di hadapan dengan mata 10-6.

Antlers mencipta kebangkitan merapatkan kedudukan 11-10 berpunca daripada servis, Hisham Mat sebelum memintas dari segi pungutan mata 15-13.

Pasukan kendalian Shahibol Mazlan terus menjarakkan kedudukan dengan kutipan mata yang dihasilkan perejamnya, Norhaffizi untuk selesa di hadapan dengan mata 19-14 sebelum menang 21-15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya