MBI PBT pertama di Perak lancar surau bergerak

MBI PBT pertama di Perak lancar surau bergerak

BAS yang diubah suai menjadi Surau Bergerak MBI yang dilancarkan di Ipoh, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan Surau Bergerak MBI sempena sambutan Israk Mikraj dan Ambang Ramadan peringkat MBI di sini hari ini. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, rekaan surau bergerak MBI itu adalah hasil idea dan reka bentuk MBI bersama syarikat yang dilantik untuk menyiapkannya.

Menurutnya, apabila terdapat permintaan sebuah surau bergerak, MBI menganggapnya sebagai satu cabaran. 

“Pemilihan bas yang sesuai dengan rekaan kemudahan asas untuk bersolat sebelum ditambah baik dengan ciri-ciri moden serta selesa untuk kegunaan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rumaizi, MBI mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyiapkan surau bergerak itu.

Katanya, surau tersebut bukan sahaja lengkap dengan ruang solat tetapi turut dilengkapi sistem air wuduk, sistem hawa dingin, generator, alat audio video yang lengkap dengan sistem waktu azan serta kanopi.

“Dengan kos kira-kira RM100,000, akhirnya wujudlah sebuah surau bergerak yang pertama oleh pihak berkuasa tempatan di Perak,” katanya. 

Rumaizi berkata, MBI juga menghasilkan rekaan yang mudah dan mesra dengan seorang petugas sudah mampu mengendalikan surau bergerak itu di lokasi ia ditempatkan.

“Konsepnya cukup mudah, ia boleh diletakkan pada mana-mana lokasi bagi kemudahan umat Islam memanfaatkannya ini untuk bersolat serta aktiviti dakwah yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN