PORT DICKSON: Hanya sebak dan hiba dirasai Habibah Abd. Samad, 46, ketika dia menaiki pentas untuk menerima skrol diploma bagi mewakili arwah anaknya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Ibu Allahyarham Mohd. Arif Haikal Azlan, 23, yang merupakan Graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Port Dickson itu mengakui, dia tidak henti-henti mengalirkan air mata sepanjang majlis konvokesyen yang berlangsung petang tadi.
“Arwah sudah memaklumkan kepada saya yang dia telah mendapat cuti untuk hadir ke majlis pada hari ini. Arwah juga telah membeli baju baharu namun tidak sempat untuk memakainya pada majlis ini.

“Anak saya itu mengalami kemalangan ketika pulang dari tempat kerja di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam menuju ke rumah di Jasin, Melaka. Sewaktu itu arwah mengalami kecederaan di kepala dan dia tidak sedarkan diri sebelum dia meninggal dunia pada 7 Mac lalu,” katanya.
Habibah yang hadir bersama suaminya, Azlan Ali, 52, ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson Ke-29 di sini hari ini.
Skrol diploma tersebut telah disampaikan kepada Habibah oleh Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Dan Kolej Komuniti, Datuk Mohlis Jaafar.
Allahyarham Mohd. Arif Haikal meninggal dunia akibat mengalami kecederaan kepala yang serius selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain pada pukul 7.30 malam 3 Mac lalu.
Allahyarham berada dalam keadaan koma sebelum meninggal dunia Hospital Melaka pada 7 Mac lalu.
Dalam pada itu, Habibah memberitahu, Allahyarham Mohd. Arif Haikal merupakan anak sulung daripada empat beradik dan salah seoranga adiknya, Azfar Haziq, 20, sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Mekanikal Automatik juga di politeknik yang sama.
“Arwah seorang yang manja dan penyayang. Dia juga sering membawa bekal yang dimasak oleh saya dan dia juga tidak malu untuk cium saya sebelum ke tempat kerja,” katanya. – UTUSAN










