PETALING JAYA: Datuk Zuraida Kamaruddin terus mengunci mulut berhubung desas-desus beliau akan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana dikaitkan dengan penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Malah, sumber rapatnya enggan mengesahkan sama ada Zuraida telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Namun katanya, Ahli Parlimen Ampang itu hanya fokus kepada tugasnya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika ini.
“Buat masa ini, beliau hanya fokus kepada gerak kerja kementerian untuk mengekalkan harga komoditi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Zuraida telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp MPT Bersatu selepas mesyuarat MPT Bersatu diadakan baru-baru ini.
Menurut sumber, tindakan itu diambil bagi mengelakkan rahsia parti diketahui Zuraida, kerana kumpulan WhatsApp itu dianggotai lebih 30 ahli MPT termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Zuraida dikaitkan dengan PBM sejak tahun lalu, apabila didakwa menerima tawaran untuk menerajui parti itu dan turut mengadakan mesyuarat bersama barisan kepimpinan parti itu di Putrajaya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November lalu.
Khabar angin itu semakin kuat apabila bekas setiausaha politiknya, Nor Hizwan Ahmad yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) menyertai PBM pada Disember lalu, selepas meletakkan jawatan sebagai ahli Bersatu untuk menyertai PKN.
Malah, ahli MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman baru-baru ini mendedahkan bahawa partinya mempertimbangkan keputusan untuk memecat Zuraida kerana didakwa terlibat dengan PBM.
Bagaimanapun, Nor Hizwan yang kini Setiausaha Agung PBM mengesahkan bahawa partinya tidak menerima sebarang permohonan keahlian rasmi daripada Zuraida.
Namun, setakat ini, keputusan itu belum dibuat, kerana difahamkan tindakan memecat Zuraida mendatangkan dilema kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana sebarang tindakan diambil oleh beberapa ahli Parlimen khususnya Bersatu boleh mengakibatkan kerajaan sedia ada tergugat dan kemungkinan tumbang.