Zuraida bersama PBM, Wan Saiful minta tunggu pengumuman rasmi - Utusan Malaysia

Zuraida bersama PBM, Wan Saiful minta tunggu pengumuman rasmi

WAN Saiful Wan Jan (dua kanan) bersama Saifuddin Abdullah (kanan) ketika menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Sebarang perkara atau spekulasi berkaitan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin lebih sesuai diulas jika terdapat pengumuman rasmi daripada parti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau tidak bercadang untuk membawa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat keluar dari lingkungan itu.

“Macam-macam spekulasi mengenai YB (Yang Berhormat) Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti saya rasa isu dibincang dalam mesyuarat kita kekal dalam mesyuarat.

“Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripda parti kalau ada apa-apa (perkara), kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, di sini malam tadi.

Turut serta, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar.

Zuraida didakwa menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan kepimpinan Bersatu baru-baru ini dilaporkan ada berbincang isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit.

Memetik laporan sebuah portal, anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memberitahu, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan sehingga kini Zuraida masih kekal sebagai anggota MPT Bersatu dan ahli parti itu serta meminta semua pihak menunggu perkembangan selanjutnya.

Malah beliau berkata, isu berkaitan Zuraida sama sekali tidak menjejaskan perjalanan Bersatu dan PN dalam menghadapi PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN