NIBONG TEBAL : Sepasang suami isteri bersama enam anaknya yang hidup serba kekurangan di Kampung Teluk Ipil, di sini mampu menarik nafas lega apabila Yayasan Nurani Malaysia tampil menghulurkan bantuan untuk menanggung menambah-baik kediaman keluarga itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasru Syazwan Nawai berkata, pihaknya akan menanggung kos pembinaan dapur beserta tiga bilik rumah terbabit.
“Menerusi tabung baik pulih kediaman, kita menyasarkan sebanyak 50 buah rumah terpilih akan menerima faedah ini, bergantung kepada dana yang disumbangkan orang ramai.
“Kita memahami kesusahan pemohon yang kadangkala terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi ketika mengemukakan permohonan bantuan daripada agensi kerajaan.
“Justeru, diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.
Mohamad Firdaus Johari, 36, berkata, dia berdepan cabaran membesarkan enam anak apatah lagi apabila isteri, Noor Azlinda Mohamad, 35, disahkan menghidap penyakit jantung sejak 2015.
Katanya, mereka membesarkan anak-anak yang berusia antara 13 tahun sehingga 9 bulan di dalam sebuah rumah satu bilik yang didiami sejak 10 tahun lalu.
“Tanah yang didiami ini milik ayah saya dan saya perlahan-lahan menambah baik bahagian rumah, namun kekangan kewangan menyukarkan untuk siap sepenuhnya.
“Sebagai ayah, saya memahami kepentingan mengasingkan bilik antara anak-anak lelaki dan perempuan apatah lagi usia mereka semakin menginjak dewasa,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mohamad Firdaus berkata, dia pernah memohon bantuan agensi kerajaan untuk membaik pulih rumah namun syarat yang dikenakan amat menyukarkan.
“Saya sudah habis ikhtiar untuk memohon bantuan kerana kalau mahu guna duit sendiri, pendapatan bulanan saya tidak seberapa.
“Saya hanya bekerja sendiri dengan mengambil upah membaik pulih paip dan mengecat rumah kerana waktu yang fleksibel memudahkan saya membantu isteri menguruskan anak-anak,” katanya.- UTUSAN ONLINE










