KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
‘Jangan ada lagi pilihan raya mengikut negeri yang jelas menunjukkan nafsu parti memerintah untuk kekal berkuasa’.
Itu pandangan Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong mengenai ketidakstabilan politik yang berlaku pada masa ini.
“Bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang, kita perlu mengembalikan mandat kepada rakyat, biar rakyat yang memilih kerajaan yang mereka mahukan.
“Bukan dengan cara mengadakan pilihan raya secara berperingkat-peringkat hanya kerana ingin mengekalkan kuasa dan jawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan itu berkata, pada masa ini, orang ramai dapat melihat Barisan Nasional (BN) cuba menguasai negeri-negeri terlebih dahulu sebelum melaksanakan PRU-15.
“Mungkin itu agenda atau strategi BN untuk kekal berkuasa namun, jika mereka benar-benar yakin maka, kembalikan semula kuasa ditangan rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata, biar rakyat menilai sama ada kerajaan hari ini akan kekal atau sebaliknya dan kemelut politik yang berlaku pada masa ini harus diselesaikan mengikut lunas-lunas yang sepatutnya.
“Semasa melakukan tinjauan di beberapa negeri di Semenanjung, saya mendapati ramai rakyat yang tidak senang dengan keadaan yang berlaku sekarang.
“Jika ditanya kepada 10 orang awam, sembilan daripada mereka pasti mahu PRU disegerakan. Hanya orang yang mahu mengekalkan jawatan sahaja tidak mahu menyegerakan pelaksanaan PRU.
“Untuk menyelamatkan keadaan supaya rakyat tidak terus keliru dengan kemelut politik yang berlaku maka, adakan PRU dengan segera,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan perlu mengambil kira keadaan rakyat yang tiada pendapatan tetap serta kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, sekiranya keadaan politik masih belum stabil, ekonomi negara akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
Sejak PRU-14, tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) telah diadakan iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan terbaru di Johor setelah pembubaran DUN Johor diisytiharkan pada 22 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE