LUMUT: Seorang lelaki warga emas yang terkunci dalam tandas ditemukan telah meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Guru, Sitiawan di sini pagi tadi.
Ling Chee Moh, 63, ditemui sudah meninggal dunia ketika anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari tandas di dalam rumahnya itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak perempuan mangsa pada 9.38 pagi.
“Anak mangsa menelefon bomba selepas mendapati bapanya tidak keluar dari tandas dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung dan Sitiawan diketuai Komander Operasi, Shariman Hashari ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di rumah itu, kami melakukan tindakan mengumpil pintu tandas tersebut dan selepas berjaya dibuka, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi itu tamat sepenuhnya pada 10.31 pagi.










