Warga emas didakwa tipu baucar penginapan tidak wujud

Warga emas didakwa tipu baucar penginapan tidak wujud

MAT Isa Mat Dali (dua dari kanan) yang didakwa atas pertuduhan menipu dengan menawarkan baucar penginapan hotel tidak wujud tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang warga emas didakwa di dua kamar Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lapan pertuduhan menipu dengan menawarkan baucar penginapan hotel tidak wujud bernilai keseluruhan sebanyak RM5,321, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mat Isa Mat Dali, 56, yang juga seorang pemandu bas bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh dan Nozaliza Tesmin. Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah pada pukul 10.10 pagi dalam keadaan kaki berhencut disebabkan masalah saraf daripada penyakit angin ahmar dihadapinya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya tujuh mangsa dengan menawarkan baucar penginapan di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson yang mana baucar tersebut tidak wujud sehingga mendorong mereka memasukkan wang berjumlah antara RM360 hingga RM1,557 ke dalam akaun banknya.

Kesemua mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Julai hingga 16 Ogos 2020 di beberapa lokasi sekitar Nilai.

Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan menipu dengan memperdaya seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan mengeluarkan mangsa daripada senarai hitam bank yang mana perkhidmatan tersebut tidak wujud sehingga mendorongnya memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun banknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pekan Mantin, Nilai pada pukul 4.40 petang, 5 Julai 2020. Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding kes, Mat Isa yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan paling minimum atas alasan menghidap penyakit angin ahmar serta isterinya seorang suri rumah dan mempunyai penyakit diabetis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua sembilan pertuduhan tersebut. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman.

Kes akan disebut semula 24 Februari ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya