Warga asing 'kuasai' Sungai Segget - Utusan Malaysia

Warga asing ‘kuasai’ Sungai Segget

CAPTION WARGA asing menjadikan laluan pejalan kaki di Sungai Segget tempat berkumpul di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setiap kali cuti perayaan, laluan pejalan kaki yang indah di Sungai Segget di tengah-tengah bandar raya ini bertukar wajah menjadi kawasan warga asing berkumpul.

Suasana di kawasan tersebut boleh dikatakan sering menjadi port untuk mereka bertemu dengan rakan-rakan pada setiap kali cuti umum atau cuti hujung minggu.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati, kumpulan warga asing tersebut terdiri daripada pekerja yang menjadikan beberapa buah kedai serbaneka sebagai lokasi membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun suasana tersebut menjadikan warga bandar raya kurang senang dengan kehadiran begitu ramai warga asing tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tiada langsung penjarakan fizikal.

Seorang pengunjung, Razali Ahmad Hashim, 45, dari Pasir Gudang berkata, kehadiran ramai warga asing ke kawasan tersebut patut dipantau oleh pihak berkuasa.

“Mereka boleh datang tapi kenalah jaga penjarakan fizikal dan jangan berkumpul terlalu ramai sehingga menjadikan kawasan di hadapan serta dalam kedai serbaneka itu sesak,” katanya.

Jelasnya dia yang datang bersama keluarga untuk bersiar-siar di kawasan pejalan kaki di Jalan Wong Ah Fook itu terpaksa berpatah balik ke tempat lain kerana keadaan yang sesak dengan warga asing tersebut.

Seorang lagi pengunjung, Azimah Nordin, 32, yang datang bersama rakan-rakan sekerja terkejut melihat begitu ramai warga asing yang berkumpul di deretan kedai serbaneka tanpa penjarakan fizikal.

“Saya datang kesini untuk bersiar-siar kerana teruja melihat keindahan Sungai Segget yang cantik, tetapi dicacatkan dengan pandangan begitu ramai warga asing yang berkumpul,” ujarnya.

Kawasan pejalan kaki di Sungai Segget kini sudah berubah wajah dari sebuah sungai yang kotor dan berbau menjadi kawasan riadah untuk warga Johor Bahru bersiar-siar bersama keluarga di samping menikmati pemandangan menarik dengan hiasan-hiasan di sepanjang laluan tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN