Wanita UMNO juga tuntut 30 peratus calon - Utusan Malaysia

Wanita UMNO juga tuntut 30 peratus calon

NORSHIDA IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wanita UMNO turut menuntut agar 30 peratus dalam kalangan Wanita Barisan Nasional (BN) dapat dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, mereka yakin ramai calon Wanita BN Johor mampu memenuhi kriteria yang digariskan pucuk pimpinan BN seperti digunakan pada PRN Melaka yang lepas.

Katanya, Wanita amat memahami bahawa keputusan meletak calon bertanding di sesuatu kawasan ditentukan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti latar belakang setempat, populasi kaum dan keupayaan calon memenangi kawasan itu. 

“Wanita menuntut hanya 30 peratus daripada keseluruhan calon iaitu jika 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh BN, maka wanita menuntut hanya 17 kerusi daripada jumlah keseluruhan kerusi.

“Di samping itu, cadangan ini sejajar dengan usaha yang jitu daripada pasukan Wanita BN yang sentiasa mengutamakan kebajikan dan membantu rakyat Johor,” katanya di sini hari ini.

Ahad lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Johor mahu sekurang-kurangnya 30 peratus pemimpin atau ahli daripada sayap itu sebagai calon PRN Johor.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, permintaan itu dilihat bersesuaian dengan pelaksanaan PRN Johor yang menyaksikan pertambahan bilangan pengundi baharu termasuk menerusi Undi-18.

BN akan mengekalkan resipi kejayaan pada PRN Melaka, November lalu dengan menetapkan kriteria calon m menepati ciri ‘WALI’ iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable)

Setakat ini, senarai calon BN daripada tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC masih belum dimuktamadkan dan dijangka hanya akan diumumkan selepas pengumuman tarikh-tarikh penting oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN