KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempertikaikan cadangan kerajaan ingin memberi Kad Warga Asing di Sabah ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir.
Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang berkata, amat menghairankan apabila cadangan pemberian kad itu dilaksanakan secara tiba-tiba ketika negara berada di ambang PRU-15.
“Kita juga ingin tahu secara terperinci apakah kaedah-kaedah dan terma-terma yang diguna pakai dan siapa-siapa yang terlibat? Kenapa keputusan dibuat tanpa penglibatan rakyat, pihak pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan?
“Apa jaminan program ini telus, terbuka, tepat dan dilaksanakan tanpa berlakunya penyelewengan?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan adakah pemberian kad itu sama seperti Pas Residen Sementara atau Pas Sementara Sabah yang ditentang habis-habisan oleh seluruh parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
Malah beliau melontarkan soalan adakah pemberian kad itu melibatkan kesemua warga asing termasuk pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci?
Mengulas lanjut katanya, cadangan memberi kad warga asing itu bertentangan dengan janji semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 yang lalu.
“Kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian menangani masalah kebanjiran pendatang asing seiring dengan janji yang ditabur semasa PRN Sabah.
“Amat menyedihkan apabila selepas lebih 16 bulan berlalu, masih belum ada satu pun usaha bagi menunaikan janji tersebut. Malah rakyat Sabah ‘dihadiahkan’ dengan cadangan pemberian dokumen kepada warga asing seolah-olah mengiktiraf kehadiran mereka di negeri ini,” katanya,
Jelas Felix, rakyat kini menuntut janji daripada kerajaan yang mahu menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ada di Sabah seperti dijanjikan pada PRN yang lalu.
Tambahnya, kerajaan seharusnya melaksanakan cadangan yang dinyatakan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu PATI di Sabah dengan laporan RCI itu cukup lengkap pelbagai bukti dan penemuan namun, ia tidak dimanfaatkan. – UTUSAN