PUTRAJAYA: Trend tular pengantin baru bernikah yang mempertonton aksi pakaian dilucutkan pasangan di bilik pada malam pertama melalui wadah media sosial adalah haram.
Demikian peringatan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi pencerahan terbaharu dalam kolum Irsyad al-Fatwa yang disiarkan pautan laman agensi itu, semalam.
“Perlakuan unboxing by husband itu adalah sama seperti menceritakan mukadimah atau permulaan perbuatan jimak kepada orang lain dan trend sebegini adalah haram,” jelasnya.
Pandangan PWMP itu selari dengan teguran bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai trend berkenaan yang menjadi ikutan pengantin baharu. Ia susulan tular dalam kalangan warganet tempatan berhubung paparan babak tersebut yang ditayangkan pengantin terbabit seperti trend dilakukan pasangan di Barat tanpa rasa malu.
Mengulas lanjut, agensi itu berkata, meskipun pelaku mungkin berniat baik menggambarkan nikmat perkahwinan setelah hubungan sah dihalalkan, namun mudarat adalah lebih besar.
“Pendedahan itu dibimbangi menggalakkan maksiat bagi belum bernikah kerana hubungan intim adalah wilayah peribadi dan tidak patut diceritakan atau dipertonton,” tambahnya.
PMWP merujuk hadis Rasulullah SAW riwayat al-Bukhari yang pernah memberi ancaman kepada orang tiada perasaan malu sebegitu dan perlu bersedia menanggung azabnya kelak. Sebaliknya baginda menerusi riwayat al-Nasaie pernah bersabda bahawa Allah menyukai hamba-Nya yang mempunyai sifat malu dan menutup aib daripada terdedah kepada umum.
Justeru, seseorang suami itu perlulah memainkan peranan memastikan pasangannya menjaga kehormatan dan jika sebaliknya, dia akan tergolong dalam kelompok lelaki yang dayus.
“Bahkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat Muslim ada bersabda bahawa lelaki paling teruk di sisi Allah pada hari kiamat ialah yang menyebarkan rahsia isteri,” kata PMWP.
Para ulama ujar agensi tersebut, menyifatkan amaran baginda itu menunjukkan perbuatan menceritakan hubungan suami isteri adalah haram termasuk perkara bersedap-sedapan.
Tambahan pula, segala perlakuan rahsia itu adalah amanah perlu dijaga dan jika didedahkan kepada orang lain, ia seumpama membuka pekung dan mengkhianati pasangan sendiri.
Apatah lagi jelas PMWP, ia boleh menimbulkan fitnah dan rangsangan nafsu syahwat tidak baik terutama kepada anak muda belum berkahwin yang bertentangan dengan syarak.
“Trend ini adalah buruk dan berpunca daripada kegilaan tarik perhatian warganet dengan dedah sensasi melalui media sosial dan menyebabkan penonton terpengaruh,” katanya. – UTUSAN ONLINE