PONTIAN: UMNO menerima permohonan daripada beberapa bahagian parti itu di negeri ini untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permohonan itu bukanlah satu kejanggalan dan biasa berlaku setiap kali tibanya apa-apa pilihan raya.
“Beberapa bahagian UMNO memang ada menyuarakan mahu bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi komponen BN. Bukan hanya di Pulai Sebatang sahaja malah beberapa kawasan yang lain.UMNO melihat kesemua permohonan dan desakan itu sebagai permohonan politik yang biasa.
“Akhirnya pucuk pimpinan pusat dan negeri akan buat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di sini malam tadi.
Ahmad menjawab desakan beberapa UMNO Bahagian yang dilaporkan mahu parti itu meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Melayu berbanding parti komponen yang menganggap ia kerusi tradisi mereka.
Antara yang membuat desakan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan yang mahu calon parti itu diletakkan di DUN Kukup dan Pekan Nanas, berikutan majoriti kawasan terdiri daripada masyarakat Melayu.
Mengulas mengenai calon BN, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.
“Siapa yang bertanding di mana akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Namun setakat hari ini calon masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










