JOHOR BAHRU: UMNO sebenarnya berasa bimbang dengan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Sheikh Umar Bagharib Ali.
Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, ini kerana pertambahan seramai 750,000 pengundi baharu termasuk golongan muda memberi kelebihan kepada blok pembangkang.
Kata beliau, sebaliknya UMNO masih berada pada kedudukan lama dengan barisan kepemimpinan yang terpalit dengan isu rasuah.
“Jika mengikut logik Puad (Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi), sayap pemuda PH adalah gagal kerana menumpang imej Muda. Jadi, ini bermakna UMNO gagal bawa Islam sewaktu mengambil membentuk kerjasama politik bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
“Seperti logik Puad, UMNO menumpang imej Pas untuk dilihat Islam. Lebih teruk, UMNO seperti ‘pakai buang’ Islam kerana dahulu dengan Pas, sekarang tidak lagi, adakah begitu?” soalnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, Mohd. Puad membuat kenyataan tersebut kerana bimbang UMNO terjejas dalam PRN Johor memandangkan keputusan PH dan Muda untuk menjalin kerjasama politik.
“Sebenarnya, Puad bimbang melihat kerjasama PH-Muda. Puad bimbang terhadap kesatuan blok pembangkang khususnya selepas penambahan lebih 700,000 pengundi Johor berusia 18 tahun ke atas dalam PRN kali ini.
“Puad juga bimbang kerana tidak ada apa-apa yang baharu dalam pembawaan UMNO. Bahkan, UMNO masih tidak move on daripada muka-muka pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa,” jelasnya.
Baru-baru ini, parti komponen PH dan Muda dilaporkan mencapai persefahaman untuk menjalin kerjasama politik dalam PRN Johor menerusi konsep khemah besar yang akan menyaksikan pengagihan kerusi antara mereka. – UTUSAN