Tun M tulis surat kepada pengundi Johor - Utusan Malaysia

Tun M tulis surat kepada pengundi Johor

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru kepada semua pengundi Johor untuk membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana setiap undi menentukan parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri itu.

Mesej itu disampaikan bekas Perdana Menteri itu dalam satu surat kepada pengundi Johor hari ini.

Beliau berpandangan, kesan PRN Johor ini kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) amat besar dan tidak boleh diambil ringan walaupun wujud perasaan dalam kalangan pengundi bahawa ia tidak akan memberi kesan apa-apa, tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu tetap membangkitkan bahawa PRN tersebut dirancang kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.

“Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU-15.

“Perancangan mereka ialah apabila menang di pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat,” katanya.

Dr. Mahathir turut maklum ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.

“Memang benar, tetapi mereka yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat.

“Jadi amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

PRN Johor akan menjadi medan untuk penampilan sulung Pejuang selepas memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN Melaka pada November lalu kerana berpendirian itu bukan masa sesuai untuk mengadakan sebarang pilihan raya kerana negara masih lagi berdepan dengan risiko penularan Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya