PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap bersemangat melawan golongan yang tidak amanah dan mengambil rasuah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun tidak dapat bersama-sama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk berkempen.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau masih perlu berehat selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini namun semangat juangnya tidak terhenti di situ.
“Saya merasa agak terkilan kerana buat masa ini badan saya tidak dapat bersama saudara dan saudari di dalam menghadapi PRN Johor namun percayalah, semangat dan jiwa saya mengiringi di setiap langkah yang diambil.
“Saya sedar ramai yang berkata mengapa perlu saya ambil peduli dengan soal-soal duniawi dan seharusnya menumpukan kepada perkara-perkara akhirat dan ibadah.
“Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksanakan ibadah yang perlu. Perjuangan juga adalah satu ibadan malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir dibenar keluar dari IJN hari ini selepas menjalani rawatan di institut itu sejak awal bulan lalu.
Mahathir tetap bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara dan meletakkan kepercayaan kepada partinya, Pejuang untuk terus melawan golongan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.
“Kita bertanding kerana kita tidak mahu kumpulan yang tidak amanah rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa dan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.
“Kuasa itu bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuaskan nafsu duniawi tetapi ia untuk melepaskan negeri dari cengkaman mereka yang sedemikian.
“Kerana itu perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap dari kita yang mempunyai kesedaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE