Tuanku Muhriz rasmi Menara MAINS

Tuanku Muhriz rasmi Menara MAINS

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Menara MAINS yang terletak di Jalan Taman Bunga, Seremban, hari ini. Hadir sama, Aminuddin (kiri) dan Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang terletak di Jalan Taman Bunga, di sini hari ini.

Perasmian bangunan setinggi 18 tingkat itu setelah ia siap sepenuhnya pada tahun 2016 dan telah mula diduduki pada tahun 2017 selepas mula dibina pada tahun 2012 dengan melibatkan kos berjumlah RM72.2 juta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini 90 peratus daripada premis yang berada di bangunan berkenaan telahpun diduduki oleh jabatan-jabatan di bawah MAINS selain disewa oleh agensi lain selain MAINS dan pihak swasta.

“Adanya bangunan Menara MAINS ini, suasana bekerja akan lebih kondusif untuk semua dan diharapkan ia dapat memberikan ketenangan bekerja kepada warga kerja MAINS seterusnya membantu meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan awam kepada umat Islam di Negeri Sembilan.

“Sesungguhnya di samping dapat memberikan keselesaan kepada pelanggan MAINS, bangunan baharu ini juga diharapkan dapat memberikan suntikan semangat lebih tinggi kepada warga kerja MAINS untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan mempertingkatkan taraf kecekapan dan kualiti kerja mereka,” kata beliau sewaktu berucap dalam majlis tersebut.

Yang hadir sama, Datuk-datuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

Sementara itu, tambah Menteri Besar, kewujudan Menara MAINS itu juga selari dan tepat pada waktunya selepas penstrukturan semula MAINS.

“Pada awal tahun 2021, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah memberi titah dan perkenan agar MAINS distrukturkan semula bagi tujuan penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran. 

“MAINS dijadikan sebagai sebuah agensi mengurus hal ehwal agama Islam bertaraf Badan Berkanun Diasingkan Saraan Dan Bebas (BBDSB) yang mana penstrukturan semula telah menyatukan beberapa agensi agama di bawah pentadbirannya.

“Penyatuan ini adalah tepat pada masanya selari dengan kewujudan Menara MAINS yang menjadi pusat perkhidmatan bagi urusan zakat, wakaf, pengurusan harta orang Islam dan kaunseling,” kata beliau lagi.

Aminuddin dalam pada itu turut berterima kasih kepada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang telah merancang pembinaan Menara MAINS sehingga ia tersergam pada hari ini.

Sementara itu, selepas menyempurnakan titah dan gimik perasmian, Tuanku Muhriz yang turut diiringi oleh putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz kemudiannya juga berkenan untuk melawat ruang pameran serta pejabat yang berada di bangunan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN