SHAH ALAM: Terdapat tiga komponen penting berhubung penyelesaian banjir yang perlu dilaksanakan secara seiring dan akan dibentangkan dalam pemukiman kerajaan negeri pada 23 Februari ini.
Pertama adalah pembinaan empangan besar, tasik dan kolam takungan air; kedua kewujudan sistem saliran seperti sungai, parit, longkang dan terowong manakala yang terakhir adalah kaedah pelepasan sama ada di tasik atau laut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, isu penyelesaian banjir menjadi tumpuan utama dalam pemukiman bersama Menteri Besar yang diadakan di Pulau Langkawi selain daripada pelaburan.
“Kita juga ada berhubung dengan pakar terowong bawah tanah dan sebagainya untuk melihat teknologi terbaharu dalam pengurusan banjir supaya tidak ketinggalan dalam melihat penyelesaian menyeluruh isu pengurusan sumber air dan banjir.
“Balik pemukiman nanti saya boleh berkongsi jalan penyelesaian dan yang penting kos kerana terlalu tinggi. Sebab ini bukan kerja sehari dua, tetapi untuk jangka panjang dan memang melibatkan dana yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan sumbangan kepada kakitangan jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 345 daripada 709 kakitangan menerima sumbangan seperti kewangan dan barangan elektrik dengan jumlah keseluruhan bernilai RM870,000 tajaan Berjaya Land Berhad dan Selia Senggara Sdn. Bhd. serta Delight 2000 Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Izham memaklumkan selain semua Exco kerajaan negeri, pelbagai jabatan dan agensi termasuk syarikat swasta yang berkaitan dengan cadangan pengurusan banjir turut terlibat dalam pemukiman tersebut.
“Daripada kerajaan negeri, semua terlibat termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Landasan Lumayan Sdn. Bhd. sebab menguruskan Sungai Klang.
“Jadi, semua (komponen) itu hendaklah diuruskan secara bersepadu, tak boleh dilihat secara berasingan dan bawa cadangan itu daripada semua sudut. Kita sudah beberapa kali mesyuarat, lagi sekali kita akan bentangkan penyelesaian yang sangat menarik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE