KOTA KINABALU: Tiada sebarang petunjuk untuk membuktikan dakwaan terdapat sekumpulan lelaki warga asing berpakaian celoreng dan bersenjata api menyusup masuk ke Tambisan, Lahad Datu pada 28 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perkara itu disahkan menerusi maklumat risikan dan siasatan yang dijalankan antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Sebelum ini, sebuah agensi berita melaporkan seorang lelaki mendakwa ternampak lebih 10 orang lelaki bersenjata yang dipercayai warga Filipina dikatakan menyusup masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, Lahad Datu.
“Pihak IPK Sabah bersama pasukan ESSCOM telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan, kami mendapati tidak ada sebarang pentunjuk tentang dakwaan ini.
“Walau bagaimanapun, ketika ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dan lain-lain pasukan keselamatan sentiasa memberi perhatian tentang keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah keseluruhannya daripada sebarang ancaman luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak perlu risau tentang tahap keselamatan di negeri Sabah.
Semalam, Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad memberi jaminan bahawa keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada masa ini dalam keadaan baik dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Jelas Hamzah, dakwaan terdapat lebih 10 lelaki bersenjata daripada Filipina menyusup masuk perairan Tambisan, Lahad Datu itu sedang disiasat.- UTUSAN ONLINE