IPOH: Tiada layanan istimewa diberikan kepada permohonan mana-mana pihak berkaitan operasi tokong yang dibina dalam kawasan gua di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebaliknya berkata, pengusaha rumah ibadat itu perlu mengikut prosedur biasa dengan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak untuk mendapatkan kelulusan operasi.
“Jawatankuasa khas yang bermesyuarat Isnin lalu telah mencapai kata sepakat di mana tokong yang beroperasi di dalam gua perlu beroperasi secara sah mengikut undang-undang.
“Oleh kerana kawasan itu adalah tanah kerajaan, maka tiada individu mahupun pihak yang dibenarkan masuk tanpa kebenaran. Jika mahu beroperasi, perlu mohon kebenaran melalui PTG.
“Sudah tentu PTG akan ikut prosedur yang sama di mana mereka akan mendapatkan laporan teknikal daripada agensi berkaitan sama ada permohonan lulus atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon, ‘Walkable City’ dan Bandar Raya Bestari Sejahtera 2030 di sini semalam.
Menurut beliau, perakuan dari agensi bertanggungjawab penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana ia melibatkan keselamatan struktur binaan dan orang ramai.
“Tiada layanan istimewa dan ikut prosedur biasa,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai isu parkir bertingkat di bangunan baharu Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang didakwa hanya untuk kegunaan kakitangan hospital itu dan bukan untuk orang awam.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun akan berbincang dengan pihak HRPB dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi mendapat gambaran sebenar isu berkenaan.
“Saya perlu tanya pihak hospital kerana itu premis mereka. Cuma, apabila rakyat merungut, sudah tentu kerajaan negeri perlu campur tangan bagi mengetahui apa terjadi.
“Apa pun, saya setuju tujuan (pembinaan parkir bertingkat) itu sebelum ini bagi mengelak kesesakan di luar hospital, jadi kita akan bincang berkenaan isu ini,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial rungutan pengunjung HRPB yang mendakwa tidak dibenarkan meletak kenderaan di parkir bertingkat tersebut kerana ia dikhaskan untuk kakitangan hospital. – UTUSAN ONLINE










