Ternakan hilang gara-gara ular sawa 150kg - Utusan Malaysia

Ternakan hilang gara-gara ular sawa 150kg

ANGGOTA bomba dari BBP Bukit Katil, Melaka mengambil masa 15 minit menangkap dua ekor ular sawa batik menggunakan peralatan khas dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana di Kampung Bukit Piatu di sini, bertukar kecoh selepas seekor ular sawa batik seberat 150 kilogram ditemukan melingkar dalam kawasan belukar, pagi tadi. 

Reptilia itu ditemukan seorang penduduk, Ramli Ab. Wahab, 42, kira-kira pukul 10.45 pagi ketika membersihkan lokasi tersebut menggunakan jengkaut. 

Katanya, penemuan itu sekali gus turut menjawab tanda tanya penduduk kampung mengenai ternakan yang dikesan hilang sejak bulan lalu. 

Saya mengambil upah membersihkan kawasan belukar dan ketika membuat kerja-kerja pembersihan pagi tadi, saya terkejut ternampak seekor ular sawa yang sangat besar. Penduduk ada juga mengadu ternakan mereka hilang sejak bulan lalu, mungkin ular inilah yang telah membaham haiwan-haiwan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Piatu di sini, hari ini. 

Tambahnya, sepanjang bekerja sebagai operator jengkaut, ia adalah pengalaman pertamanya menemukan ular seberat itu.

“Selain ular itu, terdapat seekor lagi ular lain yang saiznya lebih kecil menyelinap masuk ke dalam belukar,” katanya. 

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.50 tengah hari. 

Sebaik sahaja tiba, kita dapati seekor ular sawa batik betina anggaran seberat 150 kilogram dan sepanjang 4.5 meter sedang melingkar berhampiran sebuah jengkaut. Pasukan bomba mengambil masa 15 minit untuk menangkapnya menggunakan peralatan khas,” katanya. 

Katanya, seekor lagi ular sawa batik jantan anggaran berat tujuh kilogram dan sepanjang 2.7 meter panjang juga ditangkap menggunakan jengkaut pada pukul 1.30 petang.  

Jelasnya, reptilia itu akan diserahkan kepada Zoo Melaka untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.