JITRA: Seorang pemandu lori di sini memberi alasan sudah tiga tahun berhenti mengambil dadah namun ujian saringan awal air kencing terhadapnya positif methamphetamine dalam satu operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kepala Batas, di sini malam tadi.
Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam sekatan pemeriksaan Op Khas Motosikal Sempena Tahun Baharu Cina bermula jam 8 hingga 12 tengah malam.
Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu ketika ditanya berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Mergong dari rumahnya di Jitra dan terkejut sebaik sahaja menyedari ada sekatan pemeriksaan JPJ di kawasan itu.
Menurutnya, sebelum ini dia mengambil dadah untuk bekerja dan pernah menjalani rawatan di pusat rawatan dan pemulihan AADK.
Sementara itu, dalam operasi tersebut sebanyak 99 kenderaan telah diambil tindakan oleh anggota penguatkuasa JPJ atas pelbagai kesalahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan kesalahan teknikal yang termaktub mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
“Sepanjang operasi ini, sebanyak 161 notis dikeluarkan kepada pemandu kenderaan termasuk penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sekatan pemeriksaan Op Khas Motosikal Sempena Tahun Baharu Cina di Kepala Batas di sini malam tadi.
Menurutnya, operasi ini membabitkan seramai 125 anggota dari semua agensi penguatkuasaan seperti AADK, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, operasi yang sama turut disertai seramai 366 anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negeri ini.
“Operasi yang dilakukan di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas-Jitra ini untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan ketika musim perayaan bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.