Terbit semula cerita rakyat elak pupus - Utusan Malaysia

Terbit semula cerita rakyat elak pupus

ARIPIN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu berperanan menerbitkan semula cerita penglipur lara dan cerita rakyat yang dibukukan dalam dekad 1960-an serta 1970-an untuk tatapan dan bacaan generasi muda masa kini.

Genre cerita penglipur lara dan cerita rakyat sudah hampir pupus berikutan pengamal dan pendukungnya telah lama meninggal dunia tanpa pengganti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Dr. Aripin Said berkata, pemikiran, kesantunan dan nilai budi yang terkandung dalam genre tersebut menggambarkan pemikiran Melayu yang universal.

Menurutnya, pemikiran Melayu yang terkandung dalam cerita rakyat tersebut adalah berkaitan moral dan budi, sosiopolitik dan kepemimpinan, kepahlawanan, sosioekonomi dan agama.

“DBP boleh menjadi penyelaras penerbitan semula cerita penglipur lara dan cerita rakyat ini terutama yang membabitkan syarikat percetakan lain.

“Usaha bersepadu dan terancang sangat perlu apabila kita mendapati cerita penglipur lara dan cerita rakyat yang menjadi elemen pendidikan masyarakat tradisional semakin dilupakan dan tidak dipedulikan,” katanya di sini semalam.

Beliau yang juga menulis lebih 400 cerita rakyat dan penglipur lara berkata demikian sebagai mengulas tentang nasib khazanah bangsa itu dalam zaman milenium yang semakin pupus di negara ini.

Aripin berkata, usaha orang lama seperti Budayawan Pahang, Zakaria Hitam atau mesra dipanggil Pak Zek yang menulis lebih 300 cerita rakyat dan penglipur lara perlu dihargai dan disuburkan kembali kepada generasi baharu.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, jasa pegawai Inggeris yang celik jawi, W.O Winstedt membukukan Hikayat Malim Deman, Malim Dewa, Raja Muda, Anggun Cik Tunggal dan Awang Sulong begitu besar sumbangan terhadap sejarah kesusasteraan Melayu di negara ini.

“Tanpa inisiatif Winstedt yang disokong Pawang Ana dan Mior Hassan serta Haji Yahaya di Temoh Hilir Perak pada 1905, cerita penglipur lara itu kekal sebagai tradisi lisan sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×