JERANTUT: Kehadiran pengunjung domestik sejak bermula cuti perayaan Tahun Baharu Cina sehingga kini menyebabkan pemuda Orang Asli etnik Bateq, Kapak Galong, 36, tidak ‘menang tangan’ mengadakan demonstrasi cara-cara menghidupkan api menggunakan rotan dan kayu.
Ini kerana pengunjung yang singgah ke penempatan Kapak, iaitu Kampung Dedari terletak di pesisir Sungai Tembeling di Taman Negara semata-mata untuk melihat amalan kelangsungan cara hidup Orang Asli etnik Bateq di hutan, antaranya teknik menghidupkan api.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kapak berkata, dia menyediakan kayu dan rotan untuk tujuan demonstrasi kerana pengunjung datang bersilih ganti singgah di kampung itu.
“Cara menghidupkan api menggunakan rotan dan kayu memang sinonim dengan kami masyarakat Orang Asli Bateq di Taman Negara dan kemahiran warisan orang-orang tua ini diperturun kepada setiap generasi.
“Ini adalah amalan dalam kehidupan kami yang kerap berpindah-randah di hutan tropika Taman Negara sejak orang-orang tua lagi,” katanya di Kampung Dedari di sini semalam.
Menurut Kapak, menghidupkan api secara kaedah tradisional kaum itu memerlukan kemahiran dan bukan semua orang boleh melakukannya.
“Kami mengambil masa beberapa minit sahaja menghidupkan api cara ini, tetapi bagi pengunjung yang mencuba peralatan ini belum tentu berjaya,” katanya.
Dia yang juga bertugas sebagai porter (membawa barang) bagi pelancong Taman Negara selanjutnya menambah selain cara menghidupkan api, mereka juga mengadakan demonstrasi memasak nasi dalam buluh termasuk lemang dan kraf tangan kaum itu kepada pengunjung.
“Bolehlah sikit pendapatan yang diterima daripada pengunjung ke sini dan bagi pelancong Barat yang singgah di sini sebelum ini (sebelum pandemik Covid-19) tidak lokek memberikan ‘tips’ (wang) yang cukup lumayan.
“Sekadar upah yang kecil setiap kali pertunjukan ini memadailah untuk berbelanja keperluan dapur dan tembakau jawa bagi keluarga dan pada masa yang sama saya berbangga dapat mempromosi cara hidup dan kesenian Orang Asli Bateq kepada pelancong ke sini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE