Takaful pertanian dilancar suku kedua dengan padi beras perintis

Takaful pertanian dilancar suku kedua dengan padi beras perintis

RONALD Kiandee (depan tengah) bergambar bersama pemain industri pada Program Sesi Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 320,000 pesawah di seluruh negara bakal menjadi kumpulan pertama yang menerima perlindungan insurans bencana alam di bawah Skim Takaful Agromakanan bagi sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, ia ketika ini sedang giat diperhalusi lebih terperinci oleh Agrobank di bawah kementerian itu sebelum dilancarkan.

“Kita berharap agar pelancaran skim baharu itu akan dapat dilaksanakan segera dalam suku kedua pada tahun ini dengan petani sektor padi beras bakal jadi kumpulan perintis,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan portal bersepadu baharu, MyAgro Trade dan Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022 di Wisma Tani, di sini hari ini.

Cadangan insurans bidang pertanian makanan negara mula disuarakan beliau pada 15 Mac tahun lalu sewaktu majlis penyerahan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi di Jitra, Kedah.

Ketika itu, idea tersebut dilihat bagi melindungi pesawah negeri jelapang padi berkenaan yang sering dilanda banjir sehingga menjejaskan pengeluaran beras wilayah Utara Semenanjung.

Bagaimanapun, saranan itu mula kembali dibangkitkan oleh banyak pemain industri pertanian ekoran bah besar pada akhir tahun lalu yang teruk merosakkan kawasan penanaman mereka.

Susulan itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi membantu golongan petani dan penternak yang terkesan akibat bencana alam luar jangka di beberapa buah negeri terlibat.

Kementerian tersebut bahkan turut menyediakan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan yang sebanyak RM80 juta untuk meringankan beban golongan sasar berkenaan.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, Malaysia boleh dianggap agak ketinggalan berbanding kebanyakan negara di benua Asia yang sudah lama menawarkan pelbagai skim insurans pertanian.

“Melalui inisiatif sebegini, kelompok petani tidak perlu bimbang jika tanaman rosak disebabkan bencana tertentu kerana mereka dilindungi dan boleh membuat tuntutan lebih cepat,” jelasnya.

Langkah ini juga ujarnya, meringankan beban kewangan kerajaan yang boleh menumpukan peruntukan besar itu kepada projek lain lebih penting kerana isu tersebut diuruskan pihak takaful.

Agrobank jelas beliau, akan menyelaraskan skim tersebut termasuk kadar bayaran premium, jenis liputannya dan kemungkinan ada kerjasama dengan syarikat insurans lain yang berminat.

 Tempoh perlindungan juga boleh dipelbagaikan sama ada tiga bulan, enam bulan, sembilan bulan atau setahun bergantung kepada kemampuan petani dan penilaian tahap risiko kerosakan.

 Justeru, beliau berharap golongan itu tidak melepaskan peluang bagi mengambil skim takaful tersebut sebagai persediaan awal berlaku bencana dan akan menerima pampasan sewajarnya.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN