SEREMBAN: Keputusan kerajaan menurunkan harga ayam standard kepada RM8.90 sekilogram yang berkuat kuasa 5 Februari lalu menjejaskan pendapatan penjual ayam segar kecil-kecilan.
Tinjauan di beberapa gerai jualan ayam segar di Sikamat di sini mendapati, setiap kilogram ayam segar dijual pada harga RM9.30.
Salah seorang peniaga, Mohd. Redhwan Kamaruddin, 39, berkata, sebagai peniaga kecil di tepi jalan, dia terpaksa menjual pada harga tersebut bagi membolehkannya mendapat sedikit keuntungan.
Katanya, memandangkan harga daripada pembekal adalah RM8.50 sekilogram, tidak berbaloi untuknya menjual pada harga RM8.90 sekilogram seperti yang ditetapkan kerajaan.
“Susah untuk kami yang berniaga kecil-kecilan ini untuk jual ayam pada harga tersebut. Berapa sahaja yang dapat kami peroleh dengan harga tersebut kerana kami juga perlu menanggung kos-kos lain seperti kos pekerja dan pengangkutan.
“Jangan bandingkan harga kami dengan pasar raya kerana keuntungan mereka boleh ditampung dengan jualan barang-barang lain. Mereka juga kebanyakannya jual ayam sejuk beku dan bukan ayam segar seperti kami.
“Saya harap kerajaan mencari jalan penyelesaian dalam isu harga ayam ini namun jangan jadikan kami peniaga kecil-kecilan sebagai mangsa keadaan. Selesaikan masalah yang bermula di peringkat ladang lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuatkuasa Sabtu lalu hingga 5 Jun ini adalah bagi menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan.
Sementara itu, bagi golongan pembeli, mereka menyambut baik langkah kerajaan tersebut namun mengakui memahami keadaan sekiranya ia dijual pada harga yang lebih sedikit berbanding yang telah ditetapkan.
Seorang pembeli di Seremban 2, Mohd. Zahadi Yusran, 43, berkata, sebagai pengguna, dia mahu membeli ayam segar dengan harga yang lebih rendah.
“Sekiranya harga yang dijual naik sedikit kami faham kerana ayam itu dijual peniaga secara segar dan telah dibersihkan. Sebagai pengguna tentunya saya harap agar kerajaan dapat kekalkan harga sebegini,” katanya.










