Tahun Baharu Cina: Langkawi diserbu pelancong - Utusan Malaysia

Tahun Baharu Cina: Langkawi diserbu pelancong

SEBAHAGIAN daripada pelancong yang tiba di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pulau legenda ini tetap menjadi pilihan destinasi percutian pilihan pelancong domestik sempena cuti Tahun Baharu Cina bermula hari ini.

Dianggarkan seramai 55,000 orang pengunjung akan memasuki pulau peranginan ini sempena cuti Tahun Baharu Cina bermula pada hari ini.

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan sebanyak 9,200 orang purata kemasukan pelancong di pulau ini sehari bermula hari ini hingga 6 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah pelanconn itu berdasarkan 30 hingga 35 penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dan lapan perjalanan feri bagi setiap terminal feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/ Perlis, Razmi Rahmat berkata, tempahan hotel di sini meningkat hampir dua kali ganda pada musim perayaan ini.

“Tempahan hotel empat bintang ke atas telah meningkat kepada 60 peratus bermula semalam berbanding hanya 30 peratus ketika sebelum musim cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau menambah, angka tersebut dijangka meningkat kepada 70 peratus bermula hari ini dan hotel tiga bintang dan ke bawah di Pantai Chenang juga dijangka akan menerima limpahan pengunjung bermula hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Feri Penumpang Kuah di sini yang menjadi salah satu pintu utama untuk memasuki Langkawi mendapati tempat itu dipenuhi oleh orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bercuti di sini.

Seorang pelancong dari Petaling Jaya, Selangor, Aida Elinda Zulkifle, 32 berkata, dia memilih Langkawi sebagai lokasi percutian bersama rombongan rakan sekerjanya.

“Sebagai penganjur percutian kali ini, saya memilih Langkawi kerana Langkawi mempunyai banyak tarikan yang menarik seperti kereta kabel, pulau Paradise 101, dan sunset cruise.

“Lagipun, ada di antara rakan saya yang tidak pernah datang ke Langkawi, jadi memilih Langkawi merupakan keputusan yang tepat,” katanya

Bagi seorang pelancong dari Sungai Petani yang hanya mahu dikenali sebagai Samira, 36, berkata, dia memilih untuk melancong ke Langkawi kerana tidak mahu menempuh perjalanan jauh.

“Kalau sekadar pergi ke Langkawi, saya tidak perlu menempuh kesesakan di lebuhraya kerana musim perayaan.

“Lagipun Langkawi masih ada banyak tempat yang saya belum lawati, seperti Taman Geoforest Karst Kilim, dan pantainya juga masih cantik dan bersih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya