KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyasarkan untuk meletak empat calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, nama-nama calon itu sudah pun dihantar kepada kepimpinan Srikandi Bersatu Pusat dan kepimpinan tertinggi parti untuk diberi pertimbangan.
Walaupun jumlah ini tidak semestinya diperoleh tapi, sekurang-kurangnya Srikandi Bersatu Sabah sudah mengemukakan calon-calon yang dilihat berpotensi..
“Kesemua empat calon ini adalah muka baharu dan mempunyai potensi yang tinggi kerana mereka sudah mula bekerja sejak di peringkat akar umbi lagi.
“Jadi, mereka ini sudah dikenali dalam kalangan masyarakat kerana mereka bermula daripada bawah.
“Calon-calon ini semuanya muda daripada saya dan mempunyai lebih banyak tenaga untuk bekerja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Walau bagaimanapun, nama-nama calon itu tidak boleh diumumkan dahulu kerana perlu menunggu keputusan kepimpinan tertinggi parti.
Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, sejak dahulu lagi, beliau sering bercakap tentang 30 peratus pembabitan wanita dalam pembuat dasar namun, ada kalanya perlu realistik kerana sesetengah kerusi mungkin milik parti komponen lain.
Maka, tidak boleh juga mengambil hak milik orang lain bagi mewujudkan keseimbangan dalam gabungan politik yang sedia ada.
Bagi Parlimen Beaufort, Bersatu akan kekal pertahankan kerusi berkenaan tidak kira siapa juga yang bertanding bagi kerusi tersebut.
“Apa yang penting sekarang adalah kerusi itu mesti dipertahankan. Siapa pun boleh bertanding. Namun, kerusi itu seharusnya milik kami.
“Saya boleh cakap pada Pilihan Raya Negeri (PRN), dua calon yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Bersatu menang dengan majoriti besar melebih 3,000 undi,” katanya.- UTUSAN ONLINE