TELUK INTAN: Pengilang minyak masak di sini menyokong cadangan supaya subsidi minyak peket dihapuskan dan mencari alternatif bagi membantu kumpulan B40 yang tidak lagi boleh menikmati bantuan tersebut.
Pengurus Chuan Hong Oil Mills Sdn. Bhd., Gan Khuat Seng berkata, cadangan itu mungkin dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan minyak masak berpeket di pasaran yang kerap berlaku.
Beliau berpendapat, masalah kekurangan minyak berpeket disebabkan penggunaannya secara meluas oleh golongan bukan sasaran.
“Minyak peket bersubsidi tidak cukup di pasaran antaranya disebabkan ia digunakan oleh banyak pihak termasuk peniaga kecil seperti yang menjual pisang goreng.
“Peniaga seperti ini sepatutnya menggunakan minyak dalam botol manakala minyak peket hanya untuk suri rumah.
“Saya bersetuju jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi minyak peket dan mencari alternatif agar kumpulan B40 dapat menikmati bantuan minyak subsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengenai edaran minyak masak dari kilang itu di Teluk Intan, Khuat Seng berkata, pihaknya dapat membekalkan minyak peket dan botol untuk kawasan tersebut.
“Kilang kami mengedarkan sebanyak dua tan minyak setiap hari dan jumlah ini mencukupi untuk kegunaan di kawasan ini,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kerajaan tidak harus takut untuk menghapuskan subsidi minyak peket sebaliknya mencari alternatif bagi membantu kumpulan B40 yang tidak lagi boleh menikmati bantuan tersebut.
Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ini kerana pemberian subsidi minyak peket tersebut bukan sahaja ‘dinikmati’ oleh peniaga tempatan dan peniaga warga asing tetapi juga orang kaya.
Menurut beliau, perkara tersebut sudah lama berlaku tetapi sejak kebelakangan ini ia menjadi-jadi sehingga menyusahkan kumpulan B40 untuk membeli barang tersebut.-UTUSAN ONLINE