JOHOR BAHRU: Pengundi Melayu khususnya penyokong UMNO digesa memberi kepercayaan dan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) walaupun mereka daripada parti komponen MCA atau MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu penting kerana walaupun bukan daripada UMNO, tetapi mereka mengakui peranan dan kepentingan UMNO sebagai parti teras dalam BN.
Jelasnya, hal itu kerana terdapat banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bukan melibatkan majoriti penduduk Melayu sekali gus memerlukan calon daripada kaum lain.
“DUN Johor Jaya sebagai contoh, calon BN adalah daripada MCA kerana penduduk Melayu di sini hanya sekitar 39 peratus iaitu seramai 35,000 pengundi. Saya menyeru orang Melayu yang ada dalam DUN Johor Jaya supaya bersatu dan memilih parti yang boleh membawa kestabilan kepada negeri dengan menyokong calon BN walaupun mereka bukan daripada UMNO.
“Buat apa kita (orang Melayu) berpecah dan hidup susah, kalau kita pecah tiada siapa pandang kita. PRN Johor banyak sangat parti, bila mereka (parti selain BN) menang akan buat tak tahu sahaja,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar memberitahu, sistem di dalam BN yang meletakkan UMNO sebagai parti teras adalah perkara yang membezakan gabungan itu berbanding Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN).
“Walaupun calon yang diletakkan bukan daripada UMNO iaitu sama ada daripada MCA mahupun MIC, mereka tetap sedar bahawa teras kekuatan BN adalah masyarakat Melayu menerusi UMNO yang mempunyai struktur kukuh di peringkat akar umbi. Itu sebabnya walaupun BN tewas dalam pilihan raya umum lalu, dan banyak pihak bertindak mahu keluar daripada BN, tetapi kerana parti teras iaitu UMNO masih kukuh, jadi BN terus kekal sehingga kini,” ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, calon BN daripada MCA, Datuk Tan Cher Puk yang bertanding kerusi DUN Johor Jaya tewas kepada calon PH daripada DAP, Liow Cai Tung dengan majoriti undi sebanyak 15,565. – UTUSAN ONLINE










