KANGAR: Sindiket penyeludupan dadah dan ketum didapati menggunakan perkhidmatan tonto yang berperanan memantau pergerakan pihak berkuasa, seterusnya memaklumkan lokasi sesuai bagi melakukan aktiviti pemunggahan dan penyeludupan barangan terlarang tersebut di perairan negeri ini.
Tonto yang diupah sindiket dari Malaysia dan Thailand itu berada di sekitar pinggir sungai dan zon perairan Kuala Perlis di sini. Lokasi pertemuan untuk memunggah ketum daripada negara ini yang ditukarkan dengan dadah seperti ganja dan syabu dari Thailand di sempadan perairan negara sentiasa berubah berdasarkan maklumat daripada tonto tersebut.
Bagaimanapun, taktik tersebut dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 30 kilogram ketulan mampat ganja bernilai RM150,000 di kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.42 pagi itu, ganja yang diisi dalam bungkusan plastik berwarna hitam berkenaan dicampak ke laut oleh dua suspek yang menaiki bot fiber dengan enjin ekor biawak.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah memberitahu, suspek yang dipercayai warga tempatan itu bertindak demikian selepas menyedari kehadiran bot peronda yang mengejar bot dinaiki dua individu tersebut.
Katanya, dua individu berkenaan didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kita mengejar mereka di kawasan kira-kira 1.3 batu nautika dari sempadan negara dan suspek meloloskan diri ke sempadan Thailand. Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam yang dibuang menemukan bungkusan guni plastik berwarna merah mengandungi 30 ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 30 kilogram bernilai RM150,000 dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.” katanya dalam sidang akhbar di Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis, di sini hari ini.
Tambahnya, semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau memberitahu, sindiket pengedaran dadah itu bergerak menggunakan bot fiber dengan enjin bergalah berkuasa tinggi bagi memudahkan mereka memasuki kawasan cetek dan melarikan diri sekiranya dikesan pihak berkuasa.
“Penghantar (tekong) barang terlarang ini dipercayai menerima bayaran sekitar RM700 untuk satu penghantaran iaitu RM700 untuk menghantar ketum dan RM700 lagi apabila membawa masuk dadah daripada Thailand menjadi jumlah keseluruhan RM1,400,” katanya. – UTUSAN ONLINE