Sijil vaksinasi Malaysia diperakui kerajaan Filipina

Sijil vaksinasi Malaysia diperakui kerajaan Filipina

PERAKUAN sijil vaksinasi digital oleh pelawat asing dipantau Jabatan Luar Negeri Filipina bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu kontroversi 13 pelancong Malaysia terkandas disekat masuk ke Filipina akhirnya selesai apabila kerajaan negara itu memperakui sijil vaksinasi digital MySejahtera.

Menurut laporan agensi berita rasmi, Philippine News Agency, perakuan awal rasmi sudah pun dikeluarkan oleh Pasukan Khas Pengurusan Penyakit Berjangkit Antara Agensi (IATF).

“Istana Malacanang hari ini mengesahkan agensi berkenaan sudah memberi perakuan untuk sijil vaksinasi digital Covid-19 yang diterbitkan kerajaan Malaysia dan juga Ireland,” katanya.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, ia dipercayai merujuk insiden seramai 13 warga Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, semalam.

Mereka dilarang masuk ke Filipina oleh pihak imigresen negara tersebut kerana sijil vaksinasi digital menerusi aplikasi MySejahtera tidak diperakui sebagai bukti sudah lengkap imunisasi.

Susulan itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia telah campur tangan memohon pertimbangan khas kerajaan Filipina namun gagal dan mereka akan diusir balik ke negara ini pada Selasa.

Setakat ini, IATF memperakui sijil vaksinasi dikeluarkan Bahrain, Brazil, Hong Kong, Israel, Korea Selatan, Slovenia, Switzerland, Timor Leste dan Qatar untuk dapat memasuki Filipina.

Mengulas lebih lanjut, Setiausaha Kabinet yang pemangku jurucakap Presiden Filipina, Karlo Nograles berkata, IATF sudah menandatangani Resolusi No.161 untuk Malaysia dan Ireland.

“Perakuan ini dikeluarkan atas saranan oleh pihak Jabatan Luar Negeri Filipina (DFA) bagi membolehkan ketibaan dengan protokol dan pergerakan antara zon di negara itu,” jelasnya.

Beliau menambah, pihak IATF juga mengarahkan Biro Kuarantin, Jabatan Pengangkutan Filipina dan Biro Imigresen memperakui bukti dokumen daripada rakyat dua negara tersebut.

Secara kelaziman, IATF akan menerima saranan daripada DFA setelah melakukan penilaian teliti daripada pelbagai aspek sejajar pembukaan semula sempadan antarabangsa Filipina.

Langkah ketat itu turut selaras dengan Proklamasi No.1218 diwartakan Presiden Rodrigo Duterte pada 10 September 2021 bagi mengekang wabak Covid-19 dibawa para pelawat asing.

Inisiatif khas tersebut melanjutkan tempoh kawalan pergerakan di seluruh negara sehingga 12 September depan bagi semua pengembara antarabangsa yang bergerak di wilayah Filipina. –UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN