JOHOR BAHRU: Polis Johor mengambil maklum dakwaan seorang pekerja kilang warga asing daripada syarikat ATA IM, di sini bahawa dia dipukul seorang anggota polis dalam satu kejadian pada November tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dakwaan lelaki itu turut disiarkan di sebuah saluran televisyen berpangkalan di United Kingdom, Channel 4.
Katanya, ekoran perkara itu, satu kenyataan media telah dikeluarkan pada 27 November lalu menyatakan tiada sebarang laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mana-mana pihak.
“Warga asing berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Larkin oleh pihak majikannya untuk membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dijalankan terhadap kerana membocorkan maklumat produk syarikat.
“Sebaliknya, tiada sebarang laporan polis dibuat warga asing berkenaan berhubung dakwaan dia dipukul seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, siasatan yang dijalankan polis juga tidak mendapati sebarang bukti kejadian berkenaan berlaku seperti didakwa warga asing berkenaan.
“Polis Johor komited dalam menjalankan siasatan dengan penuh integriti, tegas dan adil,” jelasnya. – UTUSAN








