GEORGETOWN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dipertimbang diadakan dalam masa terdekat supaya rakyat diberikan semula mandat memilih kerajaan yang stabil dan kukuh untuk mentadbir negara.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hanya menerusi PRU-15 rakyat boleh kembali memilih dengan jelas sebuah kerajaan dan menamatkan ketidaktentuan politik yang sedang berlaku pada masa ini.
“Saya setuju diadakan PRU-15 dengan lebih awal kerana kita dapat pulangkan kembali mandat kepada rakyat. Ia dapat hentikan ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang berlaku ketika ini, mana ada negara di dalam dunia ini yang bertukar kerajaan dua kali dalam masa dua tahun,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perpaduan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff.
Sebelum ini, beberapa pihak menggesa PRU-15 diadakan segera selepas semakin banyak kecelaruan politik berlaku di dalam negara sehingga mengugat kestabilan Kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga veteran politik UMNO berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan dalam masa terdekat tidak boleh dijadikan penanda aras untuk UMNO menang besar dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, sekiranya PRU diadakan lebih awal beliau menjangka tidak ada mana-mana parti yang akan menang dengan majoriti yang besar.
“Mungkin sudah jelas tidak ada satu parti yang akan dapat menang dengan majoriti yang besar sekiranya diadakan pilihan raya. Jika menang pun, kita perlu berkongsi kuasa dengan parti-parti lain, namun kita perlu letakkan syarat agar parti berkenaan tidak bertentangan dengan UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO juga perlu menangguhkan pemilihan parti itu terlebih dahulu dan memberi laluan serta fokus kepada PRU-15.
“Pemilihan UMNO pada bila-bila masa sahaja kita boleh adakan, selesaikan dahulu ketidakstabilan menerusi PRU. Ini kerana rakyat pada masa ini terhimpit dengan pelbagai tekanan seperti kos barangan yang semakin meningkat, isu membabitkan kesihatan dan sebagainya yang memerlukan penyelesaian segera oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE