Saya tidak pernah bertelagah dengan Bung Moktar-Hajiji - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah bertelagah dengan Bung Moktar-Hajiji

HAJIJI Noor (dua kiri) bersama Bung Moktar Radin (kiri) pada majlis penutupan Kelab Backbenchers GRS di Kudat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: ‘Tidak pernah berlaku salah faham antara saya dan Datuk Bung Moktar’.

Demikian penjelasan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengenai dakwaan hubungannya dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa pemimpin GRS telah retak.

Ketua Menteri itu berkata, beliau tidak pernah bertelagah dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah biarpun ada khabar angin menyatakan hubungan mereka berdua retak.

“Sebenarnya, hubungan saya dengan Bung Moktar, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden PBS) dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat.

“Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Maximus dan Dr Jeffrey,” katanya semasa majlis penutupan Kelab Backbenchers GRS semalam.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, beliau sentiasa berhubung dengan Bung Moktar untuk bercakap tentang usaha melindungi mandat yang diberikan oleh rakyat kepada GRS.

Jelas beliau, Sabah mempunyai masa kira-kira empat tahun lagi sebelum pilihan raya diadakan semula maka, GRS perlu bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan negeri Sabah.

Tambahnya, beliau juga tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai parti dalam GRS.

“Saya faham perkara ini.Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Hajiji berkata, isu pemilihan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS setelah perintah darurat bagi pelaksanaan PRK itu ditarik balik.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak ragu-ragu menyatakan hasrat mendaftarkan GRS dipersetujui oleh semua komponen dalam gabungan berkenaan.

“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi,” katanya.

GRS merupakan gabungan parti dalam Pakatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pas dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MIC dan MCA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketika ini, GRS berada dalam kedudukan selesa dengan memiliki 52 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN