SEREMBAN: Bermula ketika mereka masih bergelar mahasiswa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, jualan roti sandwic yang diusahakan dua orang sahabat karib kini semakin mendapat sambutan.
Fatin Nurjihan Burhanuddin, 29 dan Fatin Wahidah Safiai, 29, yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Pengajian al- Quran dan Sunnah berkata, jualan roti sandwic dengan jenama Banat Sandwich telah dimulakan mereka sejak tahun 2010.
Fatin Nurjihan berkata, mereka berdua sudah mengenali bermula sejak tahun 2010 dan daripada situ mereka sudah menjual pelbagai makanan termasuk sandwic secara kecil-kecilan di kampus.
“Pada tahun akhir, kami sepakat untuk memulakan produk sandwic secara serius selepas membuat pelbagai kajian mengenai produk ini sebelum fokus menjual roti sandwic ini di sekitar Nilai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Desa Anggerik, Nilai, Seremban, semalam.
Menurutnya, bermula dengan modal sebanyak RM1,000 dan hasil simpanan perniagaan sepanjang menjalankan perniagaan di universiti, mereka kini mampu menarik nafas lega apabila jenama Banat Sandwich mula dikenali ramai.
“Kami sebenarnya ‘menyorok’ selama tiga tahun tanpa memberitahu sesiapa pun siapa di sebalik Banat Sandwich ini kerana mahu memberi fokus perniagaan ini.
“Pada mulanya keluarga juga agak keberatan apabila mendapat tahu kami mahu menjalankan perniagaan ini kerana mereka mahu kami bekerja di bidang yang dipelajari.
“Bagaimanapun, pada tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menjadi titik tolak perniagaan kami kerana waktu itu tidak ramai boleh keluar rumah dan mula menerima tempahan yang agak banyak,” katanya.
Fatin Wahidah pula berkata, Banat Sandwich semakin dikenali ramai terutama di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
“Kami mula menerima tempahan daripada pelanggan dari Seremban, Nilai, Bangi dan Putrajaya. Bermula dengan pek kecil kini kami mampu menjual 600 hingga ke 1,000 kotak sebulan.
“Kami beroperasi sepenuhnya di dua buah rumah sewa di Taman Desa Anggerik, Nilai dan turut meletakkan sandwic ini di beberapa buah stesen minyak di sekitar Nilai.
“Antara sandwich yang mendapat permintaan pelanggan adalah sandwich telur, tuna, ayam BBQ, ayam goreng, sate, daging dan ayam cendawan,” katanya yang turut berhasrat untuk membuka sebuah kafe sendiri.- UTUSAN ONLINE










