PETALING JAYA: Sabah dan Johor antara negeri yang mengalami kekurangan bekalan kit ujian kendiri, dipercayai disebabkan masalah logistik dan peningkatan kes Covid-19 harian.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, bekalan kit ujian tersebut berkurangan dan kerajaan serta pembekal perlu sedia maklum untuk mendapatkan bekalan mencukupi supaya ia tidak mendatangkan isu lain kemudian hari.
Menurutnya, kit ujian kendiri harus mempunyai bekalan mencukupi ekoran peningkatan kes harian melebihi 11,000 menandakan kit tersebut menjadi keperluan buat masyarakat untuk mengatasi penularan varian Omicron.

“Saya harap perkara ini diselesaikan pada minggu ini sebab ia keperluan sekarang. Sebelum ini pun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ada berpesan untuk sentiasa melakukan ujian kendiri sebelum pergi ke majlis kenduri dan sebagainya.
“Bagaimana mahu ujian itu, jika kitnya tidak mencukupi untuk menampung bilangan masyarakat? Jadi pihak berkuasa perlu memastikan bekalan mencukupi. Ini juga petanda masyarakat mula sedar akan kepentingan kit ujian tersebut,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Khairy memaklumkan kes Covid-19 akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang ekoran penularan gelombang Omicron.
Sehubungan itu, Amrahi meminta masyarakat melakukan ujian kendiri dan memastikan kit dibeli daripada pengedar berlesen seperti farmasi-farmasi komuniti bagi menjamin kualitinya.
Jelasnya, jika kit ujian kendiri itu tidak sah ia akan menimbulkan kerisauan terhadap kesahihan keputusan kit tersebut kerana tidak mematuhi standard ditetapkan.
“Saya juga tidak menyarankan masyarakat membeli kit tersebut secara dalam talian kerana tiada jaminan alat itu berfungsi dengan baik hingga menyebabkan keputusan ujian ralat, bila guna alat itu negatif tetapi lain pula keputusan ketika buat di klinik.
“Belilah di farmasi-farmasi kerana kawalannya ketat dan kit ujian pasti sah. Ahli farmasi juga boleh membantu dengan mengajar serta mendidik tentang penggunaan alat tersebut. Jadi manfaatkan ahli farmasi untuk menentang wabak,” ujarnya.










