BUKIT MERTAJAM: Seorang penganggur di sini, Muhammad Qoyyum Zuki, 32, berdepan ujian berat apabila dua anak perempuannya menderita akibat masalah jantung.
Dalam masa sama, isterinya, Saziatul Idayu Muhammad Azhar, 30, dan seorang lagi anak lelaki mereka turut menderita masing-masing akibat penyakit tiroid dan masalah bibir sumbing sejak lahir.
Ketika ini, salah seorang daripada anak perempuan mereka iaitu si bongsu, Hannah Qatrunnada Muhammad Qoyyum yang berusia 14 bulan didiagnosis mempunyai kecacatan jantung sejak lahir dan memerlukan pemantauan rapi.
Menurut Pengerusi One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), Datuk Chua Sui Hau, ketika ini, masalah jantung yang dihadapi oleh Hannah Qatrunnada bertambah buruk dan satu pembedahan segera perlu dijalankan untuk menyelamatkan nyawanya.
Katanya, kos pembedahan jantung bayi itu dianggarkan mencecah RM70,000.
“Selepas pengesahan, kami bersetuju membantu mereka mengutip dana daripada orang awam bagi tujuan pembedahan itu,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad di bawah nama One Hope Charity nombor 3201428817.
Tambahnya, bantuan juga boleh dihulurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity selain boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut










